Ayat al-Quran

Jumaat, 13 Januari 2012

Sejarah Kelahiran Ikhtilaf: " IkhtiLaf uMaTku aDaLaH RahMaT " ~ RasuLuLLaH s.a.w.~


Ikhtilaf pada umat ini sudah terjadi sejak zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. namun dari aspek politik kepartian sejarah panjang ikhtilaf yang terjadi pada umat ini bermula pada generasi sahabat setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. Fitnah yang dilakukan oleh Abdullah bin Saba’ sejak khalifah Usman bin Affan r.a. telah menyebabkan terbunuhnya Usman r.a. dan melahirkan fitnah pada zaman Ali r.a dan terjadinya percanggahan politik yang berterusan dalam umat ini dengan ditandai kemunculan Syiah dan Khawarij.

            Perbalahan yang ada pada golongan ini pada asasnya bersifat politik, hanya sahaja politik dalam Islam tidak dapat dinafikan hubungannya dengan Islam itu sendiri oleh kerana mazhab politik sentiasa berasaskan agama. Ada ketikanya politik begitu dekat dengan Islam dan pada masa lain ia begitu jauh dengan Islam bahkan sehingga terkeluar dari prinsip-prinsip Islam.

            Golongan-golongan ini juga mempunyai pandangan mengenai Iman dan keyakinan. Bukan sahaja pada perkara-perkara asas bahkan termasuk perkara-perkara furu’. Maka kita dapati Syiah dari aspek furu’ mempunyai al-fiqh al-Ja’fari, Khawarij fiqh al-ibadiah, dan ahli Sunnah sendiri disamping mempunyai pandangan dalam perkara keimanan dan juga mempunyai pandangan dalam aspek furu’ yang sekarang lebih dikenali dengan fiqh empat mazhab.

Mazhab fiqhiyyah pada asasnya merupakan aliran-aliran fiqhiyyah yang diasaskan oleh imam-imam mujtahidin yang bertebaran di negeri-negeri Islam ketika itu, seperti di Iraq, Hijaz, Syam, manakala Syiah juga mempunyai aliran fiqhiyyah tersendiri. Para imam ini berijtihad dan mengambil istinbat hukum daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. kemudian diikuti oleh para pengikut mereka yang menghadkan ijtihad pada mazhab masing-masing dan membatasi diri pada pandangan mazhab, kemudian lahirlah generasi yang jumud dan tidak berani keluar dari pandangan mazhab sendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...