1. Pengenalan
Sejak kebelakangan ini, kesenian telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada kalangan masyarakat. Justeru timbul semula polemik yang dibicarakan sejak berkurun lamanya tentang sejauh mana Islam membenarkan kesenian dalam syariatnya. Seterusnya timbul pula permasalahan tentang penggunaan kesenian dalam dakwah Islam yang dilihat oleh sesetengah orang sebagai antara cara yang terbaik yang boleh digunapakai untuk dakwah. Oleh itu, kertas kerja ini akan melihat serba sedikit penggunaan kesenian bagi tujuan dakwah Islamiah.
2. Definisi Dakwah
Muhammad al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu pogram yang lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.(Al-Ghazali : 1981 )
Dalam al-Qur’an terdapat banyak ayat yang menerangkan pengertian dakwah, Firman Allah s.w.t. :
Bermaksud:
Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
(Surah al-Nahl: 125)
2.1 Metod Dakwah
Metod merupakan cara bagaimana pengajaran yang disampaikan itu dapat mempengaruhi sasaran untuk menerimanya. Sesuatu pengajaran walaupun baik, susah untuk diterima oleh sasaran jika cara penyampaiannya tidak berkesan.(Ab.Aziz Mohd Zain: 1991). Asas metod dakwah ialah sebagaimana berikut:
1. Penjelasan yang nyata dan jelas.
2. Berperingkat-peringkat.
3. Mudah.
4. Menjinakkan.
5. Adanya sebab di sebalik sesuatu suruhan atau larangan.
6. Bersesuaian dengan keadaan sasaran. (Ab.Aziz Mohd Zain: 1999)
2.2 Hubungan Kesenian dan Dakwah
Secara asasnya dakwah itu adalah merupakan matlamat hidup orang Islam iaitu untuk membawa seluruh makhluk manusia kepada Islam. (al-Faruqi 1992, hlm. 197). Justeru itu, ia telah dipraktikan semenjak zaman awal Islam dengan Nabi s.a.w. itu menyampaikan Agama yang suci ini. Firman Allah s.w.t. :
Bermaksud:
Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan berhikmah dan peringatan yang baik dan bermujadalahlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.
(Surah al-Nahl: 125)
Allah s.w.t menyatakan cara berdakwah dengan memberikan tiga metod penting iaitu dengan penuh hikmah, peringatan yang baik dan bermujadalah. Dilihat juga daripada ayat ini, bahawa cara berdakwah itu adalah amat terbuka dan terserah kepada kebijaksanaan yang ada pada pendakwah tersebut. Justeru itu, kesenian juga dapat digunakan untuk tujuan berdakwah selagi mana ia tidak melanggar batasan yang telah ditetapkan.
Walaupun kedapatan sarjana barat seperti Kenneth Craigh yang cuba menggambarkan bahawa Islam itu menentang kesenian, namun ia bukanlah sebagaimana yang digambarkan. (al-Faruqi 1992, hlm. 172) Islam jelas tidak menentang kesenian yang berada di dalam ruang lingkup yang dibenarkan.
Oleh itu, bagi menyimpulkan hubungan kesenian dengan dakwah dapatlah dinyatakan bahawa kesenian itu sebahagian daripada cara berhikmah untuk berdakwah.
3. Konsep Kesenian
3.1 Definisi Kesenian
Definisi seni menurut Kamus Dewan iaitu halus (kecil, elok), tipis dan halus enak didengar (suara), dan comel (bentuk badan). Seni adalah karya (sajak, lukisan, muzik dan lain-lain.) yang diciptakan dengan bakat dan kebolehan mencipta sesuatu yang indah.
Kamus Dewan turut mengaitkan seni dengan beberapa item yang berbeza; sajak, lukisan, muzik , ukiran, pahat, sastera, silat, suara, nyanyian, tarian dan lain. Malah perkataan seni juga digabungkan dengan perkataan kreatif (seni kreatif) yang memberi makna apa sahaja seni yang dapat mencipta sesuatu. (Noresah Baharom. 1992. hlm. 1169-1170).
Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan, manakala Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.
Eugene Johnson dalam 'The Encyclopedia Americana' menjelaskan seni (art) sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti kemahiran pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan, ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.
Drs. Sidi Gazalba dalam bukunya 'Pandangan Islam Tentang Kesenian' menjelaskan bahawa kesenian adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera yang lima. Justeru itu, manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan melalui pancaindera.
Justeru itu, dapatlah di rumuskan bahawa kesenian itu adalah suatu yang cukup luas ruang lingkupnya yang mana ia dapat digunakan dengan kepelbagaian. Adalah tidak wajar menghadkan kesenian itu dengan makna nyanyian, lakonan dan hiburan semata-mata.
Dakwah pula adalah kegiatan menyeru dan membimbing serta meyakinkan secara baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya menyedari dan mengamalkan ajaran agama yang sebenarnya, penyebaran ajaran agama (lazimnya dimaksudkan agama Islam) (Noresah Baharom. 1992. hlm. 244) Definisi yang dinyatakan adalah cukup jelas menerangkan kalimah dakwah.
Berdasarkan definisi yang diberikan dapat diringkaskan tajuk perbincangan ini sebagai suatu usaha untuk memperlihatkan hubungan antara dakwah dan kesenian dengan memperjelaskan penggunaan kesenian dalam berdakwah dalam perjalanan sejarah Islam.
3.2 Hukum Kesenian Islam
Islam tidak pernah menolak kesenian selagi dan selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat dan bukannya seni untuk seni. Terdapat lima hukum dalam seni jika diperincikan. Antaranya:
(1) Wajib : Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yang mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk binaan masjid serta seni taman (landskap) bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah swt tersebut.
(2) Sunat : Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan umat Islam seperti dalam nasyid, qasidah dan selawat kepada Rasulullah saw yang diucapkan beramai-ramai dalam sambutan Maulidur Rasul atau seni lagu (tarannum) al-Quran.
(3) Makruh : Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan oleh manusia.
(4) Haram : Jika kesenian itu berbentuk hiburan yang :
i. Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan-kewajipan yang berupa tanggungjawab asas terhadap Allah swt khasnya seperti ibadah dalam fardhu ain dan kifayah.
ii. Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil (salah).
iii. Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan yang lain.
iv.
v. Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang menyerupai patung sama ada dibuat daripada kayu, batu dan lain-lain.
vi. Disertai dengan peralatan muzik yang diharamkan oleh Islam seperti alat-alat tiupan, bertali, tabuhan yang bertutup di bahagian atas dan bawah serta alat-alat muzik dari tekanan jari. Sesetengah ulama mengatakan harus hukumnya jika digunakan untuk pendidikan dan tidak menarik kepada konsep al-Malahi (hiburan yang keterlaluan) juga alat-alat muzik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah Islamiyyah, seperti yang pernah dibuat oleh Rabiatul Adawiyyah.
vii. Seni yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian terkini (kontemporari).
viii. Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan kesombongan.
(5) Harus : Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya.
3.3 Matlamat Kesenian Islam
Dalam Islam, seni haruslah tidak bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnya manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawa seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya manusia Muslim yang tidak tahu bagaimana untuk membawa kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketakwaan kepada Allah s.w.t. Seni Islam dibentuk untuk melahirkan seseorang yang benar-benar baik dan beradab.
Konsep seni Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian kepada Allah s.w.t. Motif berseni haruslah bermatlamatkan perkara-perkara ma’ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah s.w.t. Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari hubungan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.
Seni dalam Islam menanam rasa khusyu’ kepada Allah di samping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makhluk Allah yang diciptakan dengan fitrah yang gemar kepada kesenian dan keindahan. Oleh sebab itu seni dalam Islam tidak berslogan ̋ seni untuk seni ̏ tetapi seni kerana Allah untuk manusia, makhluk dan Alam sekitar. Kesenian Islam terpancar daripada tauhid yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan Allah s.w.t maka seni yang berpaksikan tauhid dapat menanamkan sifat bertaqwa dan beriman. Seni juga dapat meningkatkan daya intelek dan bukan sahaja emosi.
3.4 Ciri-ciri Kesenian yang boleh Membentuk Nilai Murni
1. Seni yang tidak melalaikan. Tanpa mengira bentuk seni samada ia seni lakon, seni suara, seni halus kesemuanya perlu dilihat pelaksanaannya dengan penuh tanggungjawab dan tidak menjadi sebab seseorang itu melupai tanggungjawabnya terhadap Allah dan sesama manusia. Seorang pelakon contohnya mestilah melaksanakan tanggungjawabnya terhadap Allah dengan menjalankan suruhannya.
2. Perlaksanaan dan persembahannya tidak bertentangan dengan syarak dan sentiasa menjaga akhlak.
3. Menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa syirik.
4. Bukan untuk bermegah.
5. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yang menyentuh aspek-aspek estetika, kemanusiaan, moral dan lain-lain.
6. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kepada keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketaqwaan, kema’rufan, kesahihan dan budi yang mantap.
4. Bidang-bidang Kesenian Islam
4.1 Seni Tulisan Khat
Seni khat ialah satu ilmu yang memperkenalkan bentuk-bentuk huruf tunggal, penyusunannya dan cara-cara merangkainya menjadi sebuah tulisan yang tersusun. Khat merupakan seni tulisan indah yang mempunyai nilai-nilai kehalusan dan kesenian. Nilainya tinggi kerana ianya mudah dirobah mengikut penulisan, bahkan tulisannya seolah-olah mempunyai irama. Ia juga disandarkan pada subjek-subjek yang berkaitan dengan agama dan digunakan untuk menulis ayat-ayat suci dan kata-kata bijak pandai (hukama').
Seni khat berkembang dengan perkembangan seni ukiran dan kadang-kadang kedua-dua bidang seni ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Ia juga menjadi coretan tulisan indah daripada kehalusan rasa seni dan ketajaman daya pemikiran manusia yang mencipta seni tulisan sebagai lambang kepada perkataan yang dituturkan. Perbezaannya dengan huruf-huruf lain adalah dari segi keindahannya, mudah dirobah, disandarkan kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan digunakan untuk menulis ayat-ayat suci.
4.2 Seni Penulisan (Sastera)
Manakala seni penulisan pula dikaitkan dengan seni kesusasteraan. Seni kesusasteraan sememangnya mendapat sambutan yang sangat hangat di kalangan umat Islam dan ianya terjadi kerana kesusateraan Islam bersumberkan al-Quran dan al-sunnah yang mana kesusasteraan al-Quran dapat dilihat dari dua aspek iaitu keindahan bahasa dan dari segi isinya. Di sini dapat dilihat bahawa hasil atau sumbangan kesusasteraan yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah telah menyebabkan ramai kaum musyrikin yang telah memeluk agama Islam hanya apabila mendengar al-Quran. Contohnya al-Walid l-Mughirah yang merupakan penyair yang terkenal pada zaman Jahiliyyah dan pengkritik yang paling tajam terhadap Rasulallah s.a.w, Umar al-Khattab serta Labid, Rabiah dan Jubair bin Mat'am.
Al-Quran telah berjaya melumpuhkan keangkuhan dan kejaguhan sasterawan Arab dari segi keindahan bahasa kesusasteraan dan yang lebih menakjubkan lagi ianya bukan sahaja menggetarkan jiwa mereka yang memahami bahasa arab malah melintasi batas peribadi, bahasa, keturunan, kebudayaan, geografi, pangkat dan sebagainya. Kesusasteraan Islam mula disebarkan oleh Rasulullah s.a.w dan terus berkembang pada zaman khalifah-khalifah al-Rashidin, Umaiyah dan Abbasiyyah. Selain al-Quran, karya kesusasteraan Islam juga meliputi Syair, Rubai', Burdah, Prosa dan sebagainya.
4.3 Lukisan dan Arca ( Ukiran)
Seni lukisan dan arca juga dkenali sebagai seni halus. Pelbagai barang seni yang dihasilkan untuk perhiasan yang diperbuat dari emas, pohon dan batu mahal dan ukiran seni halus ini juga terdapat pada perabut rumah, piring, kuli buku, jubin, tembikar, daun pintu, makam, gading dan lain-lain. Seni halus ini juga terdapat pada objek-objek seperti berikut antaranya ukiran kayu dan logam yang banyak diperolehi pada zaman kerajaan Fatimiyah. Logam yang dipilih biasanya bewarna emas, perak dan tembaga contohnya pada mata wang syiling, cerek, bekas air, buyung, tungku dan topi besi perang. Begitu juga seni seramik yang juga terdapat pada piring dan tembikar manakala seni sulaman dibuat dalam bentuk kain seperti kain penghias dinding, tikar permaidani, sejadah, barang-barang tenunan sutera dan sebagainya. Seni hias pula biasanya berbentuk seperti kerawang, lampu dan bentuk-bentuk geometri pada kubah dan lain-lain.
Seni lukis pula bermula pada zaman khalifah Muawiyah di Damsyik dan ia biasanya tertera pada helaian-helaian safhah al-Quran yang dihiasi dengan corak lukisan bunga dan gambar berbentuk araesque dengan pilihan warna emas, buku-buku sejarah yang dihiasi dengan gambar-gambar warna yang cantik seperti kitab al-Tarikh Syahnama dan buku hikayat alfun alLaial dan buku-buku cerita. Seni lukis Islam biasanya terhad kepada lukisan keindahan alam dan tidak termasuk benda-benda bernyawa yan boleh menjadi pujaan seperti haiwan, dewa atau patung.
4.4 Seni Binaan
Satu lagi seni Islam ialah seni bina di mana ianya mencapai tahap yang mengagumkan. Seni bina bermaksud satu bidang seni untuk mendirikan bangunan, reka bentuk yang direka oleh manusia. Menurut Ibn Khaldun seni bina merupakan satu daripada asas tamadun yang paling utama yag merupakan lambang atau menifestasi daripada sesuatu tamadun. Oleh itu berdasarkan pencapaian ini maka keagungan dan ketinggian sesuatu tamadun itu dapat diukur. Buktinya dapat dilihat melalui tamadun-tamadun purba yang agung. Pada zaman tersebut, seni bina yang bermutu dihasilkan dan masih lagi wujd walaupun dalam bentuk yang telah usang dan hampir runtuh.
Aspek seni bina Islam yang terpenting yang harus diperhatikan ialah seni bina Masjid. Ini adalah kerana Islam telah meletakkan tempat ibadah sebagai ciri terpenting sesebuah bandar. Ini dapat kita perhatikan daripada sirah Rasulullah s.a.w tatkala baginda berhijrah ke Madinah, perkara yang pertama baginda lakukan ialah mencari tapak yang sesuai untuk membina Masjid. Masjid pertama menjadi lambang kekuatan aqidah, kesatuan dan perpaduan umat Muslimin. Masjid pertama yang didirikan di Madinah ialah Masjid al-Nabawi yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai pusat tarbiah (pendidikan) dan pentadbiran dalam menyusun strategi ekonomi, peradaban, perang dan sebagainya. Selari dengan perkembangan masa dan kepentinganya, Masjid kemudiannya dikembangkan dan diperindahkan dengan pelbagai unsur dekoratif-ornamentif berdasarkan latarbelakang budaya persekitaran umat Islam.
Seni bina Masjid menjadi lambang keagungan tamadun berbanding dengan barat, kerana unsur-unsur ketamadunan yang dikembangkan di kota-kota raya Islam mementingkan nilai kerohanian dan pada masa yang sama pembangunan fizikal dan kebendaan tidak dipinggirkan. Konsep penting dalam seni bina Islam ialah pencapaian iman dan amal, taqwa dan tawadhu', aman dan damai serta merendah hati kepada keagungan Allah s.w.t. Pengagunan dan perhiasan bukanlah menjadi matlamat seni bina Islam, tetapi kerana kreativiti dan inovasi artis, seniman dan arkitek Muslim, ia menjadi suatu seni yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan reka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran. Kepentingan seni bina Masjid di bandar silam Islam digambarkan dengan terdapat 241 buah Masjid. Di Kaherah pada abad ke 15 masehi pula terdapat 88 buah Masjid jamek (Masjid utama) dan 19 Masjid kecil
Dari segi struktur dalaman dan luaran Masjid, beberapa perkara dapat dilihat khususnya dari aspek mimbar, arah kiblat, tempat kedudukan imam, ruang berkumpul, tiang dan pilar utama, anjung dan serambi, mihrab, tempat berwuduk, menara tempat muazzin melaungkan azan, kubah dan lain-lain lagi. Perkara-perkara ini merupakan karektiristik seni bina Masjid yang memperlihatkan keunikannya yang tersendiri berbanding dengan seni-bina yang lain. Selain itu, seni bina Masjid banyak mengetengahkan bentuk-bentuk blat yang merupakan bentuk yang paling sempurna yang mencerminan kelembutan dan kehalusan seolah-lah ia tidak berkesedahan.
Selain daripada Masjid, seni bina Islam juga merangkumi bangunan-bangunan kediaman, kedai, jambatan, saluranair, rumah rehat, bilik mandi, perpustakaan, sekolah dan sebagainya. Seni bina mencirikan kepada lambang islam dan berlandaskan tauhid kepada Allah s.w.t serta menitikberatkan kepada reka bentuk Islam banyak dipengaruhi oleh seni bina Masjid seperti istana-istana, taj Mahal, kota-kota seperti kota Baghdad malah di Malaysia sendiri seerti bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan keretapi tanah melayu, bangunan daya bumi dan pintu gerbang darul ehsan.
4.5 Seni Muzik ( Suara, lagu dan Bunyi)
Antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati serta menenangkan telinga ialah nyanyian. Hal ini dibolehkan oleh Islam selagi tidak dicampuri lirik-lirik kotor, cabul dan yang dapat mengarahkan kepada perbuatan dosa dan dengan muzik yang tidak membangkitkan nafsu bahkan disunatkan hiburan itu seperti pada hari raya, perkahwinan, aqiqah dan waktu lahirnya seorang bayi. Daripada Aisyah r.a bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat lelaki Ansar, maka Nabi bertanya : "Hai Aisyah ! Apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sebab orang-orang ansar gemar sekali terhadap hiburan".
Tidak terdapat perkataan arab yang boleh diertikan dengan istilah Inggeris "muzik" yang menyeluruh. Ensiklopedia Pelajar Oxford mentadbirkan muzik sebagai bunyi yang disusun pada pola yang sedap didengar atau yang boleh melahirkan perasaan.
5. Kesenian Menurut Perspektif Islam
Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah swt yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas."
Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah s.w.t bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain.
Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat "Al-Amar bil Ma'ruf dan An-Nahy 'an Munkar" (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran) serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir (keredhaan Allah dan ketaqwaan). Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubunganNya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.
6. Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, bolehlah disimpulkan bahawa kesenian Islam adalah merupakan satu metode untuk berdakwah kepada masyarakat Islam amnya dan masyarakat bukan Islam khususnya. Disamping itu, sebagai seorang pendakwah hendaklah menjelaskan kepada mad’u bahawa seni bukan hanya semata-mata hiburan tapi sesungguhnya ia adalah keperluan bagi setiap yang bernama manusia yang normal dan mempunyai citarasa. Sebagaimana keperluan tubuh kita kepada makanan dan minuman begitulah keperluan jiwa kepada seni. Sebagaimana juga makan dan minum mempunyai tatacara dari aspek budaya dan agama begitu jugalah seni mempunyai tatacara yang tertentu. Sekiranya makanan boleh membahayakan kesihatan dan sebaliknya memberi kebaikan begitulah juga seni jika tidak menepati tatacaranya akan membahayakan jiwa dan pemikiran malah perosak kepada akhlak. Oleh itu, bagi menyimpulkan hubungan kesenian dengan dakwah dapatlah dinyatakan bahawa kesenian itu sebahagian daripada cara berhikmah untuk berdakwah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan