Ayat al-Quran

Jumaat, 22 April 2011

SIRAH NABAWIYYAH DARI PERSPEKTIF PSIKOLOGI

1.0 PENDAHULUAN

Memahami metode dakwah yang dilaksanakan dan dibawa oleh Rasulullah s.a.w amatlah penting, kerana apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w tentang cara berdakwah samada kepada umat Islam mahupun bukan Islam merupakan satu Sunnah. Ia merupakan prinsip asas bagi persediaan dan perlaksanaan dakwah. Kalau asas Sunnah dalam cara dan perlaksanaan dakwah ini tidak dapat difahami secara jelas maka ditakuti usaha dakwah ini kurang berkesan dan tidak akan sampai kepada matlamat yang dituju.
Read more


Sirah Nabawiyyah dari perspektif psikologi terbahagi kepada beberapa peristiwa iaitu dari peristiwa penurunan wahyu pertama, peristiwa hijrah, peristiwa Isra’ dan Mikraj, sejarah dakwah Islamiah dan lain-lain. Kesemua peristiwa ini berkait rapat dengan ilmu psikologi. Sesungguhnya metode dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. banyak menggunakan pendekatan psikologi dakwah untuk mempengaruhi orang bukan Islam. Sirah Nabawiyyah telah menunjukkan pelbagai ilmu psikologi yang terdapat di dalamnya terutama dalam sejarah dakwah Islamiah Rasulullah s.a.w di Makkah dan Madinah.

Sepertimana yang kita tahu, sejarah dakwah Rasulullah s.a.w. bermula di Makkah setelah baginda diutuskan menjadi Rasul. Apa yang dapat kita ambil di sini ialah, dakwah yang digunakan oleh baginda terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat berdakwah secara rahsia dan peringkat berdakwah secara terang-terangan.

Di Madinah, banyak kaedah yang telah Rasulullah s.a.w laksanakan bagi menyebarkan dakwah. Metode yang digunakan oleh baginda dapat diterima umum samada penganut Islam mahupu bukan Islam seperti kaum Yahudi. Ketabahan Nabi Muhammad s.a.w dalam melaksanakan amanah Allah ini memberi impak yang besar kepada umat Islam masa kini. Sebagai Muslim yang memperjuangkan agama Allah, marilah kita sama-sama menggunakan kaedah Rasulullah s.a.w. dan diterapkan dengan perubahan persekitaran masa kini.

Justeru, dalam perbincangan kali ini akan membincangkan sejarah dakwah Islamiah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dari perspektif psikologi. Dakwah Rasulullah s.a.w dibahagikan oleh sejarawan kepada dua peringkat iaitu Mekah dan Madinah.

2.0 SEJARAH DAKWAH RASULULLAH S.A.W. DI MAKKAH

Menjelang usia Nabi Muhammad 40 tahun, baginda sudah selalu memisahkan diri dari kesibukan masyarakat, berkhalwat di Gua Hira’, bebarapa kilometer di utara Kota Makkah. Permulaannya, Nabi Muhammad berada di san berjam-jam, kemudian berhari-hari berkhalwat. Pada tanggal 17 Ramadhan tahun 611 Masihi, malaikat Jibril muncul menyampaikan wahyu Allah yang pertama :

Maksudnya:
Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.
( Surah al-Alaq : 1-5 )

Dengan turunnya wahyu pertama itu, bererti Nabi Muhammad telah dipilih Allah sebagai Rasul, dan baginda belum diperintahkan untuk menyeru manusia kepada agama. Setelah wahyu pertama itu datang, Jibril tidak muncul lagi untuk beberapa lama sementara Nabi Muhammad s.a.w. menantikannya dan selalu datang ke Gua Hira'. Dalam proses penantian Jibril, turun wahyu yang membawa perintah kepada Rasulullah. Wahyu itu itu berbunyi sebagai berikut :

Maksudnya:
Hai orang yang brselimut bangun, dan beri ingatlah. Hendaklah engkau besarkan Tuhanmu dan bersihkanlah pakaianmu, tinggalkan perbuatan dosa dan janganlah engkau memberi ( dengan maksud ) memperoleh ( balasan ) yang lebih banyak dan untuk ( untuk memenuhi perintah ) Tuhanmu bersabarlah.
(Surah al- Muddatsir : 1-7)

Dengan turunnya perintah itu, mulailah Rasulullah berdakwah. Terdapat 2 peringkat dakwah baginda Nabi Muhammad s.a.w. iaitu pertamanya berdakwah secara rahsia dan keduanya berdakwah secara terang-terangan.

2.1 Dakwah Secara Rahsia (Sirriyatud Dakwah)

Nabi Muhammad mulai menyambut perintah Allah dengan mengajak manusia untuk menyembah Allah semata-mata dan meninggalkan berhala. Tetapi dakwah Nabi Muhammad ini dilakukannya secara rahsia untuk menghindari tindakan buruk masyarakat Quraisy yang fanatik terhadap kemusyrikan dan kekufuran mereka. Nabi Muhammad s.a.w. tidak menampakkan dakwahnya di majlis-majlis umum masyarakat Quraisy dan tidak melakukan dakwah kecuali kepada orang-orang yang memiliki hubungan kerabat atau kenal baik sebelumnya.

Peringkat ini lebih ditumpukan kepada penyediaan pelopor-pelopor dakwah. Setelah Rasulullah s.a.w. berdakwah kepada seseorang individu dan mereka menerimanya, Rasulullah s.a.w. akan melatih mereka untuk menjadi seorang pendakwah. Antara orang terawal yang memeluk Islam ialah Khadijah binti Khuwailid r.a, Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Haritsah mantan orang suruhan Rasulullah s.a.w. dan anak angkatnya, Abu Bakar bin Abi Quhafah, Uthman bin Affan, Zubair bin Awwan, Abdur Rahman bin Auf, Sa’ad bin Abi Waqqash dan ramai lagi. Mereka ini bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w. secara rahsia. Apabila diantara mereka ini ingin melaksanakan salah satu ibadah, mereka akan pergi ke lorong-lorong di Makkah secara bersembunyi dari pandangan orang Quraisy.

Ketika orang-orang yang memeluk agama Islam lebih dari tiga puluh lelaki dan wanita, Rasulullah memilih rumah salah seorang dari mereka, iaitu rumah al-Arqam bin Abil Arqam, sebagai tempat pertama untuk mengadakan pembinaan dan pengajaran. Dakwah pada tahap ini menghasilkan kira-kira empat puluh lelaki dan wanita telah memeluk agama Islam. Kebanyakan mereka yang memeluk agama Islam adalah terdiri dari kalangan orang fakir, kanak-kanak dan orang-orang Quraisy yang tidak memiliki kedudukan. Dakwah Islam bermula di Makkah dengan cara rahsia. Dan Ibnu Ishaq menyebutkan, dakwah dengan cara ini berjalan selama tiga tahun. Demikian pula dengan Abu Naim yang mengatakan dakwah secara rahsia ini berjalan selama tiga tahun.


2.2 Dakwah Secara Terang-Terangan (Jahriyatud Dakwah)

Ibnu Hisyam berkata: kemudian secara berturut-turut manusia, wanita dan lelaki, memeluk Islam, sehingga berita Islam telah tersebar di Makkah dan menjadi bahan perbualan orang ramai di Makkah. Lalu Allah memerintahkan Rasul-Nya menyampaikan Islam dan mengajak kepadanya secara terang-terangan, setelah selama tiga tahun Rasulullah s.a.w. melakukan dakwah secara tersembunyi atau rahsia. Kemudian Allah berfirman kepadanya:

Maksudnya:
Maka siarkanlah apa yang diperintahkan kepdamu dan janganlah kamu pedulikan orang musyrik.
(Surah al-Hijr : 94)

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya:
Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat, dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, yaitu orang-orang yang beriman.”
(Surah Asy-Syu’ara : 214-215)

Maksudnya:
Dan katakanlah, “sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan.”
(Surah al-Hijr : 89)

Pada waktu itu pula, Rasulullah s.a.w segera melaksanakan perintah Allah. Kemudian menyambut perintah Allah dengan pergi ke atas bukit Shafa lalu memanggil, “ Wahai Bani Fihir, wahai Bani ‘Adi ” sehingga mereka berkumpul dan orang yang tidak boleh hadir turut mengirimkan orang untuk melihat apa yang terjadi. Maka Nabi s.a.w. berkata, “Bagaimanakah pendapatmu jika aku kabarkan bahawa di belakang gunung ini ada sepasukan kuda musuh yang akan dating menyerangmu, apakah kamu mempercayaiku?”. Jawab mereka, “ Ya, kami belum pernah melihat kamu berdusta ”. Kata Nabi, “ Ketahuilah, sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan kepada kalian dari seksa pedih ”. Kemudian Abu Lahab memprotes, “ Sungguh celaka kamu sepanjang hari, hanya untuk inikah kamu mengumpulkan kami ”. Lalu turunlah firman Allah:

Maksudnya:
Binasalah kedua belah tangan Abu Lahab, dan sesungguhnya dia akan binasa. (Surah al-Lahab : 1)

Kemudian Rasulullah S.A.W turun dan melaksanakan firman Allah, “ Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat ” dengan mengumpulkan semua keluarga dan kerabatnya, lalu berkata kepada mereka, “Wahai Bani Ka’b bin Lu’ai, selamatkanlah dirimu dari api neraka! Wahai Bani Murrah bin Ka’b, selamatkanlah dirimu dari api neraka! Wahai Bani Abdi Syams, selamatkanlah dirimu dari api neraka! Wahai Bani Abdul Muthalib, selamatkanlah dirimu dari api neraka! Wahai Fatimah, selamatkanlah dirimu dari api neraka! Sesungguhnya aku tidak akan dapat membela kalian di hadapan Allah, selain bahawa kalian mempunyai tali kekeluargaan yang akan aku sambung dengan hubungannya.”

Dakwah Nabi s.a.w. secara terang-terangan ini ditentang dan ditolak oleh bangsa Quarisy, dengan alasan bahawa mereka tidak dapat meninggalkan agama yang telah mereka warisi dari nenek moyang mereka, dan sudah menjadi sebahagian dari tradisi kehidupan mereka. Pada saat itulah Rasullulah mengingatkan mereka akan perlunya membebaskan fikiran dan akal mereka dari belenggu taqlid. Selanjutnya di jelaskan oleh Nabi S.A.W bahawa tuhan-tuhan yang mereka sembah itu tidak dapat memberi faedah atau bahaya sama sekali. Dan bahawa turun-temurunya nenek moyang mereka dalam menyembah tuhan-tuhan itu tidak dapat dijadikan alasan untuk mengikuti mereka secara taqlid buta. Firman Allah menggambarkan mereka:

Maksudnya:
Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,”mereka menjawab,”(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami.” (Apakah mereka akan mengikuti juga,) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu pun, dan tidak mendapat petunjuk?
(Surah al-Baqarah : 170)

Ketika Nabi s.a.w. mencela tuhan mereka, memperbodohkan mimpi mereka, dan mengecam tindakan taqlid buta kepada nenek moyang mereka dalam menyembah berhala, mereka menentang dan bersepakat untuk memusuhinya, kecuali pak ciknya, Abu Thalib, yang membelanya.

3.0 SEJARAH DAKWAH RASULULLAH S.A.W DI MADINAH

Di Madinah, Rasulullah s.a.w. telah menjalankan kerja dakwah samada umat Islam mahupun golongan bukan Islam. Metodologi Dakwah Rasulullah s.a.w di Madinah terbahagi kepada empat sudut:

1) Dari sudut isi
2) Dari sudut saluran
3) Dari sudut uslub
4) Dari sudut strategi


3.1 Sudut isi

Dari sudut isi, jika di Mekah tertumpu kepada akidah maka Madinah pula banyak tertumpu kepada hukum hakam tanggungjawab individu untuk membina sebuah masyarakat Islam mulia. Keadaan ini dapat dilihat kepada ayat-ayat al-Quran diturunkan di Madinah yang banyak menerangkan tentang dialog dengan Ahli Kitab, hukum-hukum untuk amalan di dalam ibadat khusus mu’amalat secara peribadi dan masyarakat, siasah dan peperangan mendirikan kerajaan dan tashri’ secara umum (al-‘Adawi. 1979: 370). Sebagai contoh, dalam hal menyuruh berpuasa Allah menjelaskan dalam Al-Quran:

Maksudnya:
Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah: 183)

Ayat tersebut menjelaskan kewajipan berpuasa ke atas orang Islam dan ia bermula pada tahun kedua Hijrah.

Mengenai arak dan sesetengah perbuatan buruk yang lain Allah menjelaskan:

Maksudnya:
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
( Surah al-Maidah: 90)

Ayat tersebut menjelaskan tegahan dan larangan ke atas keempat-empat perkara keji tersebut, iaitu arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib. Arak sendiri ditegah menggunakannya pada tahun ketiga Hijrah.

Dalam hal supaya setiap orang Islam berpegang kepada agama Allah dan bersatupadu Allah berpesan:

Maksudnya:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai

Masyarakat Islam ialah masyarakat yang bersatu padu. Untuk membina masyarakat tersebut Allah mengingatkan seluruh orang Islam tidak berpecah antara satu sama lain yang boleh merosakkan dengan cara berpegang teguh kepada agama Allah. Islam juga menutut agar umatnya tidak bemusuhan dengan orang bukan Islam. Sebagai contoh Rasulullah s.a.w. tidak menghalau orang bukan Islam dari Madinah malah Rasulullah s.a.w. meraikan mereka.

3.2 Sudut Saluran

Selain daripada saluran yang digunakan di Mekah, beberapa saluran baru digunakan di Madinah.

i) Saluran masjid yang dilakukan melalui khutbah Jumaat dan syarahan umum. Sembahyang Jumaat tidak diadakan di Mekah, kerana kekuatan orang Islam belum ada. Sembahyang Jumaat diadakan di Madinah, malah ia dilakukan pada sebelum hijrah Nabi s.a.w.. Melalui khutbah yang menjadi syarat kepada sembahyang Jumaat, orang Islam dapat mendengar penerangan Islam secara terbuka dan berjumpa antara satu sama lain pada setiap hujung minggu. Di samping khutbah, beberapa ucapan lain dilakukan oleh Nabi s.a.w. di masjid apabila perlu. Masjid menjadi tempat yang penting bagi masyarakat Islam pada bila-bila masa.

ii) Penghantaran mubaligh, sama ada dengan permintaan atau tanpa permintaan. Hasilnya ramai orang memeluk Islam, sehingga dengan itu Islam diketahui di merata-rata (al-Nadawi. 1977: 193-194 dan al-Aluri. 1989: 171).

iii) Rombongan dan utusan dari sesuatu suku kaum. Dengan tersebarnya berita tentang kekuatan masyarakat Islam yang baru lahir, iaitu setelah dapat mengalahkan tentera Mekah di Badar, dekat Madinah yang berlaku pada tahun kedua hijrah, maka datanglah perutusan dan rombongan ke Madinah untuk mengetahui keadaan sebenar masyarakat yang baru lahir itu. Di samping itu, rombongan ini juga hasil daripada pemergiaan mubaligh-mubaligh ke sesetengah tempat untuk mengajar tentang Islam. Mereka datang untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang Islam dan menambah lagi pengetahuan mereka tentang Islam yang baru dianuti itu. Nabi s.a.w. menerima bermacam-macam rombongan, sehingga pada tahun kesembilan hijrah dinamakan Tahun Rombongan atau Tahun Perutusan (Ibid: 171).

iv) Saluran dakwah di Madinah juga digunakan media tulisan yang berbentuk surat dan perutusan. Surat-surat ini banyak dihantarkan, terutamanya kepada pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua untuk menerangkan tentang Islam.

3.3 Sudut Uslub atau Persembahan Isi

Dakwah di Madinah banyak dilakukan sebagai kesinambungan dengan apa yang dilakukan di Mekah. Bentuk perbandingan, cerita, galakan amaran, teladan yang baik dan sebagainya yang menjadi uslub penggunaan di Mekah, masih digunakan di Madinah. Contoh-contoh uslub tersebut yang digunakan di Madinah, dalam bentuk perbandingan seperti dalam Surah al-Jumuat: 5 dan Surah Ali’ Imran: 59, dalam betuk cerita seperti dalam Surah al-Maidah: 27-31, dalam bentuk galakan seperti dalam Surah Muhammad: 15 dan dalam bentuk amaran seperti pada Surah Muhammad: 34.

Di samping itu, beberapa tambahan uslub baru dilakukan di Madinah. Bentuk-bentuk itu seperti berikut:

i. Uslub kekuatan melalui jihad perang. Uslub ini sangat berkesan, terutamanya memberi tarikan kepada orang bukan Islam tentang Islam. Jihad perang adalah bertujuan dakwah, iaitu untuk memperkenalkan kedudukan dan kekuatan orang Islam ke luar. Dr. ‘Abd al-Latif Hamzah (1978: 166) menjelaskan kemenagan tentera Islam dalam peperangan Badar (2H) yang merupakan satu pengumuman yang jelas kepada umum tentang agama yang baru dan suatu deklarasi Ilahi yang meluas tentang nabi terakhir. Orang bukan Islam juga tidak mungkin mengalahkan agama yang baru ini dan rasulnya dengan cara-cara yang telah dilakukan ini.

Al-Aluri (1989: 165-166) menyebut bahawa kemenangan yang dicapai oleh orang-orang Islam dalam peperangan-peperangan dengan orang-orang bukan Islam mempunyai kesan yang besar untuk membawa orang-orang bukan Islam masuk Islam. Kemunculan golongan Islam dengan kekuatannya di luar dugaan mencelikkan mata orang bukan Islam, sehingga mendapat pengiktirafan mereka untuk sama-sama berada di dalam barisan Islam yang baru muncul itu. Selain itu, tawanan perang dari golongan bukan Islam juga banyak yang memeluk agama Islam setelah mendapat layanan yang baik dari tentera Islam selama dalam tempoh tawanan. Dengan itu, Ghalush (1972: 207) menyimpulkan bahawa jihad dalam Islam juga merupakan satu cara dakwah.

ii. Uslub status, iaitu melahirkan sebuah masyarakat yang gemilang. Masyarakat yang baru lahir ini cukup istimewa dan jelas perbezaannya berbanding dengan mana-mana masyarakat yang ada pada ketika itu. Identiti masyarakat Islam yang terbina di atas asas akhlak yang mulia, mempunyai status yang tinggi dan terhormat. Dari status yang mulia dan terhormat ini menjadi tarikan yang kuat kepada masyarakat luar yang sentiasa berada di dalam penganiayaan, penindasan, perbalahan dan peperangan, walaupun sesama sendiri. Kemuncak kepada keadaan ini dapat dilihat kepada kemasukan orang-orang Arab secara beramai-ramai ke dalam Islam selepas Pembukaan Mekah yang berlaku pada tahun kelapan hijrah. Dalam hal ini Allah menjelaskan:

Maksudnya:
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah), Dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai.
(Surah al-Nasr: 1-2)

Ayat tersebut menjelaskan tentang orang-orang Arab yang secara beramai-ramai menerima Islam setelah melihat keistimewaan masyarakat Islam, terutamannya melalui Pembukaan Mekah. Dengan itu, masyarakat yang gemilang menjadi tarikan orang ramai kepada Islam dan ia merupakan satu uslub yang sesuai pada bila-bila masa.

3.4 Sudut strategi

Dari sudut strategi, Nabi s.a.w. di Madinah telah mengatur beberapa strategi untuk menjayakan dan mempercepatkan perkembangan dakwahnya, iaitu seperti berikut:

i) Langkah menyatupadukan masyarakat untuk dilahirkan sebuah masyarakat contoh. Program yang mula-mula diatur untuk tujuan tersebut ialah mendirikan masjid, mempersaudarakan Muhajirin (yang berasal dari Mekah) dengan Ansar (anak tempatan Madinah) dan mengikat perjanjian bagi penghuni Madinah, khususnya antara orang Islam dengan orang Yahudi (al- Nadawi. 1977: 154-156).

Pembinaan masjid bertujuan untuk dijadikan tempat mesyuarat, tempat perhimpunan untuk mengajar urusan akhirat dan urusan keduniaan, tempat perbicaraan untuk menyelesaikan masalah dan menjatuhkan hukuman, tempat perlindungan sementara bagi orang musafir dan tempat sembahyang (al-Aluri. 1989: 154).

Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar, supaya orang-orang Islam terus berada dalam satu barisan yang utuh dan padu, yang setiap anggotanya mempunyai perasaan terhadap saudaranya yang lain seperti sebatang tubuh. Perasaaan seperti ini menjadi asas utama kepada kekuatan orang Islam.

Manakala perjanjian yang diadakan di kalangan penghuni Madinah adalah untuk saling hormat – menghormati dan untuk saling bantu membantu dan saling mempertahankan Madinah dan ia merupakan asas Negara bagi sebuah kerajaan Islam. Dengan itu terdirilah di Madinah sebuah badan yang mengandungi kumpulan masyarakat untuk sama-sama mempertahankannya daripada ancaman luar dan dalam (Nawfal. 1977: 175).

Dengan adanya langkah-langkah permulaan tersebut masyarakat Islam mula terbina untuk muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat contoh yang dapat bersaing dengan masyarakat-masyarakat yang lain.

ii) Mengadakan pusat gerakan. Pusat tersebut ialah masjid, sebagaimana yang telah disebutkan. Masjid pada peringkat permulaan bukan sahaja digunakan sebagai tempat sembahyang, tetapi dipenuhi dengan bermacam-macam aktiviti yang boleh membina kekuatan umat Islam. Masjid menjadi pusat kepada kehidupan masyarakat Islam. Dengan adanya pusat ini masyarakat Islam menjadi tersusun dan terarah mengurus segala kepentingannya bagi menuju kepada kekuatan dan kemuliannya.

iii) Berbaik-baik dengan semua pihak. Masyarakat Islam yang baru muncul perlu dihindarkan dari sebarang ancaman luar, terutamanya masyarakat yang berhampiran dengannya. Ketika Nabi s.a.w. sampai di Madinah, orang Yahudi dan Musyrikin telah ada mendiaminya. Nabi s.a.w. cuba menerima hakikat itu dan cuba berbaik-baik dengan mereka melalui satu perjanjian bahawa pegangan agama adalah hal masing-masing dan masing-masing tidak boleh menceroboh antara satu sama lain (Muhammad al-Ghazali. t.t: 196). Dengan keadaan tersebut, pembinaan masyarakat dapat dilakukan dengan sempurna.

iv) Langkah mengawasi gerakan yang menggugat perpaduan dari dalam, iaitu gerakan munafik. Gerakan ini amat bahaya terhadap perpaduan masyarakat Islam, kerana ia suatu gerakan bawah tanah yang menggunting di dalam lipatan. Gerakan ini sangat sukar untuk di kesan, kerana pada zahirnya semua anggotannya terdiri daripada orang-orang Islam. Dengan itu, Nabi s.a.w. memberi penekanan khusus kepada golongan ini.

Banyak ayat Al-Quran dan hadith yang membicangkan secara khusus tentang orang munafik, supaya orang-orang Islam lebih berhati-hati terhadap gerakan golongan musang berbulu ayam ini. Satu surah khusus dalam Al-Quran dinamakan surah Al-Munafiqun (Surah Orang-Orang Munafik). Antara perkara yang sering ditimbulkan oleh Al-Quran dan hadith ialah ciri-ciri umum orang munafik dan perwatakan mereka. Penekanan seperti ini membuatkan orang Islam sentiasa berhati-hati kepada usaha-usaha untuk merosakkan perpaduan. Langkah yang diambil ini boleh menyelamatkan gugatan masyarakat Islam dari dalam.

v) Langkah mewajibkan jihad perang untuk melahirkan kekuatan masyarakat Islam. Jihad perang dalam Islam mempunyai cara dan matlamat yang tersendiri. Ia berbeza dengan peperangan yang berlaku di dalam tamadun-tamadun yang lain. Di sebalik tujuannya untuk menghapuskan kezaliman sebagaimana keterangan Allah dalam surah Al-Hajj: 39-40, ia adalah untuk tujuan dakwah, kerana ia satu cara dakwah (Ghalush. 1972: 207).

Keadaan tersebut dapat dilihat pada pertembungan yang berlaku di antara orang Islam dengan orang bukan Islam selepas hijrah Nabi s.a.w. ke madinah dalam bentuk jihad perang, sehingga membawa kepada Pembukaan Mekah. Dengan sebab wujudnya kekuatan di pihak orang Islam yang selalunya menang dalam peperangan yang diharunginya, orang-orang arab di seluruh Semenanjung Tanah Arab mengakui kekuatan orang Islam dan kelemahan mereka. Dengan wujudnya pengakuan ini, mereka mengiktiraf Islam dan memeluknnya beramai-ramai (al-Aluri. 1989: 170-171).

Dengan strategi yang diaturkan itu, Islam berkembang dengan cepat dan mencabar kekuatan-kekuatan yang ada untuk muncul sebagai satu golongan yang kuat dan mulia.

4.0 ANALISIS PENDEKATAN DAKWAH RASULULLAH S.A.W. DARI PERSPEKTIF PSIKOLOGI

4.1 Dakwah Mengikut Sasaran (Perkembangan Sasaran).

1. Berperingkat Dan Bersesuaian
  • Dakwah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w di Mekah dan Madinah adalah secara berperingkat dan bersesuaian dengan keadaan.
  • Contoh: Di Mekah Rasulullah s.a.w. banyak menekankan tentang akidah serta menggunakan metode dakwah secara berperingkat. (dakwah secara rahsia, terus terang dan umum) manakala di Madinah tertumpu kepada hukum hakam dan pembentukan akhlak mulia seseorang individu.

4.2 Dakwah Melalui Attention.

1. Nyata dan Jelas.
  • Penyampaian dakwah secara nyata dan jelas telah digunakan oleh Rasulullah s.a.w ketika berdakwah di Mekah dan Madinah.
  • Semasa di Mekah Rasulullah s.a.w. terus menjemput kaum Quraisy serta pembesar-pembesar Quraisy menghadiri perjumpaan (secara umum) di kaki bukit Safa dan menyeru mereka kepada agama Islam secara jelas dan terang.
  • Ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. menyampaikan dakwah dengan jelas tentang hukum hakam. Keadaan ini dapat dilihat kepada ayat-ayat al-Quran diturunkan di Madinah yang banyak menerangkan tentang dialog dengan Ahli Kitab, hukum-hukum untuk amalan di dalam ibadat khusus mu’amalat secara peribadi dan masyarakat, siasah dan peperangan, mendirikan kerajaan dan tashri’ secara umum. Contoh tentang hukum hakam: dalam hal menyuruh berpuasa, melarang minum arak, berjudi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dan perintah berpegang teguh kepada agama Allah.
2. Berubah-ubah.
  • Rasulullah s.a.w berhijrah atau berubah dari Mekah ke Madinah bertujuan untuk memperkembangkan lagi usaha dakwah hingga ke Madinah.
  • Sebab Rasulullah s.a.w berhijrah atau berubah ke Madinah adalah kerana perintah daripada Allah s.w.t utk mempertahankan Islam.
  • Islam tersebar secara meluas setelah Rasulullah s.a.w berubah ke Madinah.
  • Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w. telah mula mengubah masyarakat lama kepada masyarakat baru dan meletakkan sebaik-baik asas bagi sebuah masyarakat Islam yang terkenal dalam sejarah.

4.3 Dakwah Melalui Saluran Motif.

1. Memujuk Dengan Lembut.
  • Rasulullah s.a.w mengunakan pendekatan psikologi memujuk dengan lembut untuk mempengaruhi sasaran dimana dengan menyeru keluarga dan sahabat yang terdekat untuk memeluk agama Islam.

4.4 Dakwah Melalui Peneguhan.

1. Peneguhan Positif.
  • Rasulullah mengajak atau menyeru umatnya supaya beriman dan beramal soleh. Contoh; Rasululah s.a.w. mempengaruhi sasaran supaya beriman dengan apa yang disampaikannya, seperti melakukan amal soleh, mengerjakan solat, puasa, berakhlak mulia, bertakwa dan lain-lain.
2. Peneguhan Negatif.
  • Rasulullah s.a.w. memberi peringatan kepada golongan yg tidak beriman, kufur dan menolak agama Islam bahawa mereka akan berhadapan dengan bahaya di mana-mana mereka berada dan pada bila-bila masa. Penolakan tersebut merupakan kerugian yang terlalu besar.

4.5 Dakwah Melalui Personaliti Yang Mantap.

1. Membina Akhlak.
  • Rasulullah berjaya membina sebuah masyarakat yang berakhlak mulia.
  • Baginda berjaya mempengaruhi dan membentuk Identiti masyarakat Islam di atas asas akhlak yang mulia, mempunyai status yang tinggi dan terhormat.
  • Dari status yang mulia dan terhormat ini menjadi tarikan yang kuat kepada masyarakat Arab yang sentiasa berada di dalam penganiayaan, penindasan, perbalahan dan peperangan, walaupun sesama sendiri.
  • Kemuncak kepada keadaan ini dapat dilihat kepada kemasukan orang-orang Arab secara beramai-ramai ke dalam Islam.

4.6 Dakwah Melalui Pembinaan Sosial.


1. Persaudaraan Islam.
  • Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.
  • Contoh: Rasulullah s.a.w. telah mengikat tali persaudaraan sesama mereka seperti Abu Bakar dengan khadijah bin Zuhair, Jaafar Abi Thalib dengan Muaz bin Jabal, Umar al-Khattab dengan Utbah bin Malik dan lain-lain.
  • Dengan cara ini Rasulullah s.a.w telah mengikat hubungan antara Muhajirin dan Ansar dengan ikatan yang kukuh.

5.0 KESIMPULAN

Psikologi bukan sahaja terdapat dalam al-Quran dan Hadis sahaja, malah terdapat juga dalam sirah Nabawiyyah. Pendekatan psikologi dakwah dan strategi yang diaturkan oleh Rasulullah s.a.w, Islam berkembang dengan cepat dan mencabar kekuatan-kekuatan yang ada untuk muncul sebagai satu golongan yang kuat dan mulia. Sebagai seorang pendakwah hendaklah kita menguasai sirah Nabawiyyah serta mengaplikasikan pendekatan psikologi Rasulullah s.aw. ketika berdakwah kepada mad’u.

Sesungguhnya corak pendekatan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. telah berjaya mempengaruhi masyarakat di Makkah dan Madinah yang amat degil untuk menerima dakwah yang dibawa oleh baginda. Penggunaan ilmu psikologi yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam setiap dakwahnya bolehlah dijadikan contoh tauladan atau roll model kepada kita yang dijadikan sebagai khalifah di bumi Allah s.w.t. untuk mempraktikkannya di dalam kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...