Ayat al-Quran

Isnin, 28 September 2009

PEMBAHARUAN SEMASA PEMERINTAHAN KHALIFAH UMAR B. AL-KHATTAB

1. PENDAHULUAN

Umar b. al-Khattab merupakan khalifah kedua umat Islam yang memerintah antara tahun 13H-23H iaitu selepas kewafatan Khalifah Abu Bakr al-Siddiq. Khalifah Umar b. al-Khattab merupakan penerus kepada usaha-usaha yang telah dirintis oleh Khalifah Abu Bakr al-Siddiq. Umar b. al-Khattab adalah seorang kaum Quraiysh yang memusuhi agama Islam. Namun, setelah mendapat hidayah daripada Allah s.w.t, beliau muncul sebagai seorang yang paling gigih menegakkan ajaran Islam dan menjadikan Islam sebagai pegangan hidupnya.

2. BIOGRAFI UMAR B. AL-KHATTAB

2.1 Asal-usul Umar b. al-Khattab

Beliau ialah Umar b. al-Khattab b. Nbaufayl b. Abd al-Uzza b. Qurt b. Riyah b. Abd Allah b. Razah b. Adiyy b. Ka’ab b. Lu’ay b. Ghalib b. Fihr b. Malik b. Nadhir b. Kinanah (Ibn Qutaybah 1934: 77). Beliau juga dikenali dengan gelaran Abu Hafs. Rasulullah s.a.w kemudian telah menamakannya dengan gelaran al-Faruq. Ibunya bernama Hantamah bt. Hisham b. al-Mughirah b. Abd Allah b. Umar dari puak Makhzim yang berpengaruh di Mekah ( Ibn al- Athir 1965, 3: 53). Ibn Hajar (t.th 2: 518) meriwayatkan daripada Abu Na’im daripada Tariq b. Ishaq bahawa Khalifah Umar b. al-Khattab telah dilahirkan empat tahun selepas berlaku perang Fijar iaitu sebelum perlantikan Rasulullah s.a.w. menjadi utusan Allah S.W.T. Walau bagaimanapun, menurut beliau ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Khalifah Umar b. al-Khattab dilahirkan tiga belas tahun selepas Tahun Gajah. Umar b. al-Khattab berasal dari suku Quraiysh Makkah iaitu puak ‘Adiyy b. Ka’ab. Beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah s.a.w di sebelah datuknya iaitu Ka’ab b. Lu’ay. Manakala dari sebelah ibunya pula, hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah s.a.w bertemu di sebelah datuknya yang keenam iaitu Murrah b. Ka’ab ( al-Wakil 1995: 75).

Khalifah Umar b. al-Khattab membesar di kalangan masyarakat yang berada. Semasa kecil, beliau memelihara ternakan orang tuanya dan setelah itu beliau menjalankan aktiviti perniagaan dengan membawa barang dagangan berulang-alik ke Sham. Keislamannya membawa pengaruh tersendiri dalam perkembangan agama Islam. Antara lain kerana beliau merupakan seorang yang tegas dalam membela syiar-syiar agama Islam sehingga tidak seorang pun dari kalangan Quraisyh yang berani menentangnya (Ishak 2000: 8).

2.2 Sifat-Sifat Peribadi

Seorang yang bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan kebenaran agama Islam juga seorang yang tegas dan adil. Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah S.W.T. Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan amanah. Pernah menyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika beliau memegang jawatan khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya, malah beliau sendiri yang mengangkat gandum dan minyak untuk diberikan kepada salah seorang daripada golongan yang memerlukan.

2.2.1 Berfikiran terbuka

Menerima pendapat sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat. Menerima pendapat seorang perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan maskahwin mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat biasa.

2.2.2 Berani

Sebelum memeluk Islam, beliau sangat kuat dan berani menentang Rasulullah s.a.w sikap beliau sangat ditakuti oleh orang-orang yang memeluk agama Islam. Beliau tidak gentar mengisyitiharkan dirinya telah memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai. Setelah memeluk Islam, beliau berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Beliau memberi cadangan kepada Rasulullah s.a.w. supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka kepada orang ramai. Beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah s.a.w. daripada berpindah ke Madinah. Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran “al-Faruq”.

2.2.3 Adil


Seorang pemerintah yang adil dan bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya. Beliau banyak melakukan pembaharuan untuk kemajuan rakyatnya. Beliau sendiri keluar menyamar sebagai rakyat biasa untuk meninjau keadaan rakyatnya. Pada suatu malam, beliau terjumpa seorang kanak-kanak yang sedang menangis kelaparan. Beliau terus kembali mengambil gandum, memasakkan dan menyuapkan sendiri ke mulut kanak-kanak tersebut. Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.

2.3 Umar b. al-Khattab Sebelum Islam

Umar al-Kattab lahir daripada kalangan keluarga yang tidak beragama Islam. Sebelum pengislamannya, Khalifah Umar b. al-Kattab merupakan jurucakap bagi menyelesaikan sebarang perbalahan diantara khabilahnya dan khabilah lain. Beliau juga merupakan ahli perniagaaan (Kahhalah t.th.: 10). Kehidupan beliau sebelum Islam sama seperti pemuda-pemuda Quraysh yang lain yang sukakn hiburan dan keseronokan di samping berwatak bengis dan tegas dalam menyatakan pendirian (Syalabi 1974: 12). Beliau juga memiliki keistimewaan dan keunggulan dalam bidang kesasteraan khususnya syair. Disamping itu, beliau juga merupakan seorang yang mahir tentang ilmu Nasab. Manakala kebolehan membaca dan menulis yang beliau miliki juga merupakan suatu perkara yang jarang-jarang dimiliki oleh masyarakat Quraysh pada masa itu ( Nu’man 1975: 37). Dari sgi fizikalnya Umar b. al-Khattab merupakan seorang yang tinggi lampai, luas dahinya, tubuhnya berbulu seperti kebanyakkan orang Arab, kedua bahunya berbidang lebar dan kedua lengannya pulah kukuh seperti orang yang bekerja keras. Beliau mempunyai kulit putuh kemarah-merahan, serta berjanggut kekuning-kuningan (Ibn al-Athir 1965, 3: 53).

Umar b. al-Khattab sebelum apabila beliau berjalan beliau berjalan dengan pantas sehingga orang yang mengikutinya sering ketinggalan. Apabila beliau marah, beliau bagaikan seekor singa yang lapar. Ramai di antara orang Arab yang takut kepadanya. Sewaktu Rasulullah s.a.w. menyampaikan seruan Islam, Umar b. al-Khattab adalah di antara orang turut menyiksa pengikut Islam. Beliau telah melakukan beberapa penyeksaan kepada orang-orang tua, hamba sahaya dan kaum-kaum yang lemah. Pengikut-pengikut Islam dipaksa untuk mengikut agama nenek moyang mereka. Beliau merupakan orang yang kuat beribadat, kebiasaannya apabila mengembala kambing beliau akan membawa patung kecil berupa tuhan untuk disembah. Kadang-kadang beliau akan menyuruh orang membuat patung dari kuih atau manisan untuk disembah. Setelah itu patung-patung tersebut akan dimakan sebagao bekal atau makanan sehariannya (Fakrudin 1998: 78).

2.4 Umar b. al-Khattab Selepas Islam

Pengislaman Khalifah Umar b. al-Khattab, seperti yang telah diriwayatkan oleh Ishaq b. Yusuf al-Azraq daripada al-Qasim b. Uthman al-Basri daripada Anas b. Malik bahawa Khalifah Umar b. al-Khattab telah keluar membawa pedang yang terhunus untuk membunuh Rasulullah s.a.w yang dikatakan membawa ajaran sesat. Sewaktu itulah, tiba-tiba seorang lelaki daripada Bani Zuhrah menceritakan tentang pengislaman adik perempuan beliau iaitu Fatimah dan adik iparnya Said b. Zayd. Apabila mendengar berita tersebut, beliau terus menuju ke rumah adik dan iparnya untuk mendapatkan kepastian (Ibn al-Athir 1965: 84).

Ketika kedatangannya, Umar b. al-Khattab telah terdengar bacaan al-Quran yang sedang dibaca oleh Fatimah. Kemudian, beliau terus meminta kepastian tentang berita yang baru didengari tadi. Beliau memaksa mereka berdua meninggalkan agama yang dianggapnya sesat. Bagaimanapun, adik iparnya bertanya pula adakah agama yang dianuti oleh beliau adalah agama yang benar. Sebaik sahaja mendengar soalan tersebut, Umar b. al-Khattab terus menampar serta memukul adik iparnya sehingga berdarah. Manakala adiknya turut dipukuli kerana cuba menyelamatkan suaminya. Namun, walaupun dipukul dengan teruk, mereka berdua tetap tidak mahu berganjak daripada agama yang baru dianuti. Melihat keadaan tersebut, timbul perasaan kagum di hati Khalifah Umar b. al-Khattab dengan keteguhan Fatimah (Ibn al-Athir 1965: 85).

Hati beliau turut tersentuh dan berasa menyesal atas perbuatannya. Beliau seterusnya meminta izin untuk melihat ayat yang telah dibaca oleh Fatimah tadi. Beliau kemudiannya membaca ayat daripada surah Taha, daripada ayat pertama hinggalah kepada ayat-ayat yang ke 14 dan berasa tertarik dengan ayat tersebut, lalu Umar b. al-Khattab menyuruh adiknya membawa beliau berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Kebetulan, Sayyidia Hamzah dan juga Talhah b. Ubayd Allah sedang berada di situ. Sebaik sahaja melihat Umar b. al-Khattab, Sayyidina Hamzah b. Abdul Mutalib berkata seandainya Allah S.W.T. mengkehendaki kebaikan dengan kedatangan beliau, maka mereka akan menyambut dengan tangan tebuka, tetapi sekiranya Umar b. al-Khattab mempunyai niat sebaliknya beliau sendiri akan membunuh Umar b. al-Khattab. Walau bagaimanapun, tujuan beliau adalah untuk menyatakan keislamannya (Ibn Athir 1965: 86).

Setelah Umar b. al-Khattab menganut Islam, keadaan tersebut berubah. Dia tidak ingin melihat kaum muslimin dipukul kecuali dia sendiri merasakannya. Justeru, beliau menemui Abu Jahl untuk memberitahu bahawa dia dengan sedar telah menganut agama Islam supaya kafir Quraysh mahu menentangnya. Tiada apa-apa tindakan diambil terhadapnya. Malah pengislaman Umar b. al-Khattab juga dikatakan mendorong orang Islam yang berhijrah ke Habshah sebelum ini pulang ke Makkah kerana mendengar khabar bahawa orang Quraysh telah menghentikan penindasan mereka ke atas orang Islam setelah Umar b. al-Khattab menganut Islam (Ibn Sa’d 1957, 3: 267-270).

Hubungan Umar b. al-Khattab dengan Rasulullah s.a.w. bertambah rapat bila anaknya Hafsah dikahwinkan dengan Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. ditimpa sakit, beliau merupakan orang yang sangat khuatir akan kesihatan Rasulullah s.a.w. Hatinya sentiasa gelisah. Ini menyebabkan apabila beliau mendengar berita kewafatan Rasulullah s.a.w., beliau hampir menjadi gila. Kemudian datang Abu Bakr untuk menenangkan keadaan Umar b. al-Khattab dan umat Islam seluruhnya. Sewaktu pemilihan khalifah dilakukan, Umar b. al-Khattab telah mencalonkan Abu Bakr al-Siddiq untuk memegang jawatan khalifah. Hal ini mendapat persetujuan orang ramai (Fakhrudin 1999: 81).


2.5 Kewafatan Umar b. al-Khattab


Pada pagi Rabu 26 Zulhijjah Khalifah Umar b. al-Khattab telah keluar untuk menunaikan solat subuh. Sebaik sahaja beliau meluruskan saf jemaahnya dan ketika hendak takbir, tiba-tiba menunjuk Abu Lu’lu’ah yang terus menikam Khalifah Umar b. al-Khattab. Peristiwa itu berlaku sekelip mata, beliau ditikam dengan pisau yang beracun sebanyak enam kali dan tikaman tersebut menyebabkan isi perut Khalifah Umar al-Khattab terburai. Faktor sejarah menunjukkan bahawa kewafatan Umar al-Khattab adalah akibat tikaman Fayruz yang juga dikenali sebagai Abu Lu’lu’ah iaitu khadam kepada al-Mughirah b. Shu’bah. Menurut Muhammad b. Umar al-Waqidi bahawa Umar b.al-Khattab telah dibunuh pada hari Rabu bersamaan 26 Zulhijjah tahun 23 H / 644 M dan beliau dikebumikan pada pagi Ahad bersamaan 1 Muharram tahun 24 H / 644 M setelah memerintah selama 10 tahun 5 bulan 21 malam ( Ibn Sa’ad 1597, 3: 347: 365). Terdapat perselisihan pendapat mengenai umur beliau ketika wafat. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ketika itu beliau berusia 55 tahun, 60 tahun, 61 tahun dan 63 tahun. Walau bagaimanapun, menurut Ibn al-Athir pendapat yang terakhir adalah lebih tepat dan sahih. (Ibn al-Athir 1965, 3: 53).



2.6 Perlantikan Umar b. al-Khattab Sebagai Khalifah

Abu bakar sebagai khalifah Islam yang pertama sentiasa memikirkan langkah-langkah yang perlu dilakukan demi kepentingan dan kebaikan umat Islam di zaman pemerintahannya. Beliau sentiasa merasa bimbang seandainya berlaku perpecahan di kalangan umat Islam seperti peristiwa yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah s.a.w iaitu dalam menentukan siapakah yang layak untuk menyambung tugas Rasulullah s.a.w bagi memimpin umat Islam. Beliau tidak mahu berlaku pertelingkahan dalam memenuhi jawatan khalifah berulang kembali. Atas sebab inilah Abu Bakar sentiasa memikirkan tentang individu yang layak menggantikannya sebagai khalifah setelah beliau wafat kelak.

Semasa Khalifah Abu Bakar sedang sakit, beliau telah ditanya tentang bakal penggantinya. Beliau kemudian memanggil Sayyidina Uthman b. Affan yang merupakan Setiausaha Negara untuk menuliskan wasiat tersebut, beliau telah meminta pandangan sahabat lain tentang cadangan beliau terhadap Umar sebagai pengganti. Abd al-Rahman b. Awf bersetuju dengan cadangan tersebut tetapi beliau berasa ragu-ragu dengan peribadi Khalifah Umar b. al-Khattab yang menurutnya terlalu bengis. Khalifah Abu Bakar menyatakan pendapatnya bahawa Khalifah Umar b. al-Khattab tampak bengis tetapi beliau sebenarnya adalah seorang yang baik hati. Sayyidina Uthman b. Affan memberikan pendapatnya bahawa tidak ada di kalangan sahabat yang berperibadi seumpama beliau. Beliau berani serta tegas dalam menyatakan perkara yang hak. Ternyata sahabat yang lain bersetuju dengan cadangan tersebut. Setelah itu, Talhah b. Ubayd Allah mencadangkan agar cadangan tersebut diutarakan kepada orang ramai. Setelah mendapat persetujuan sebulat suara dari umat Islam untuk melantik Umar b. al-khattab sebagai pengganti Khalifah Abu Bakar, maka pengumuman telah dibuat oleh Khalifah Abu Bakar dalam khutbahnya yang bermaksud:

Apakah kamu rela (setuju) dengan siapa yang akan aku lantik sebagai khalifah ke atas kamu nanti wahai Muslimin? Sesungguhnya demi Allah setelah aku sempat menjadi pemimpin dan aku tidak melantik yang mempunyai hubungan kekeluargaan denganku. Sesungguhnya aku melantik Umar b. al-Khattab, dengarlah dan taatlah (Ibn al-Athir 1965, 2 : 425-426).

Semua yang hadir berkata “kami dengar dan kami patuh”. Pada petang hari Isnin tanggal 21 Jamadil Akhir tahun 13H/22 Ogos tahun 634M, Khalifah Abu Bakar telah meninggal dunia. Maka pada subuh hari selasa keesokkannya, Umar b. al-Khattab dengan rasminya dibai’ahkan menjadi khalifah Islam yang kedua. Selepas perlantikannya, Khalifah Umar b. al-Khattab telah naik ke mimmbar masjid untuk berkhutbah dengan memuji Allah S.W.T. dan RasulNya serta menyebut-nyebut tentang kelebihan Abu Bakar dan berkata:

Wahai manusia, tidaklah aku ini melainkan salah seorang lelaki daripada kamu. Kalau tidak dengan arahan Khalifah Rasullullah tidak aku terima jawatan ini.

Umar b. al-Khattab kemudiannya telah menghalakan pandangannya ke langit dan berdoa dengan katanya:

Ya Allah, aku ini keras maka lembutkanlah aku. Ya Allah, aku ini lemah maka kuatkanlah aku. Ya Allah, aku ini bakhil maka pemurahkanlah aku.

Kemudian Khalifah Umar b. al-Khattab berkata lagi:

Sesungguhnya Allah telah menguji kamu dengan perlantikanku. Dan mengujiku dengan kamu selepas sahabatku Abu Bakar. Maka demi Allah dia tidak mendatangkan sesuatu perkara mengenai urusan kamu tanpa aku. Maka dia lebih cenderung kepada golongan kebenaran dan amanah. Sekiranya mereka berbuat baik maka dia akan lebih baik kepada mereka, seandainya mereka berbuat jahat, maka dia akan menakutkan (Ibn Sa’d 1957, 3:274).

Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah dibentangkan di atas, jelas bahawa perlantikan Umar b. al-Khattab sebagai khalifah Islam yang kedua bukanlah berdasarkan pemilihan yang dibuat secara individu semata-mata. Malah ia adalah hasil persetujuan dan persepakatanseluruh Muslimin pada masa itu. Sekali pun pada awalnya Khalifah Abu Bakar secara peribadi memilih Umar b. al-Khattab sebagai penggantinya, namun seandainya tidak mendapat persetujuan semua kaum Muslimin maka sudah tentu perlantikan tersebut tidak akan diterima.


3. PEMBAHARUAN SEMASA PEMERINTAHAN KHALIFAH UMAR B. AL
KHATTAB

3.1 Pembaharuan Dalam Bidang Sosial

3.1.1 Menetapkan awal tahun hijrah dan mempelbagai aktiviti pembangunan sosial.


Khalifah Umar b. al Khattab merupakan orang yang pertama mengadakan takwim Islam berdasarkan tahun hijrah iaitu bermula pada tahun 1 Muharram ( menyamai 16 Julai 622 Masihi). Penubuhan takwim Islam ini dibuat pada tahun 17 hijrah, tujuannya adalah bagi memudahkan urusan pentadbiran negara. Beliau telah membuat penetapan mengenai awal tahun hijriyyah yang sebelum ini tidak pernah difikirkan oleh kaum muslimin. Surat menyurat yang diterima oleh Umar b. al-Khattab daripada panglimanya lengkap dengan tanggal hari, bulan tetapi tanpa tahunnya. Umar al-Kattab meminta pendapat para sahabat nabi tentang awal tahun hijriyyah. Para sahabat berpendapat tahun hijriyyah itu diawali dengan hijrahnya Rasulullah s.a.w. dari kota Mekah ke kota Madinah. Dengan ini Umar b. al-Khattab merupakan orang yang pertama menetapkan calendar tahun hijrah
(Nasution 1985: 177).

Dalam usaha meningkatkan kehidupan rakyat pula, khalifah Umar b. Al-Khattab telah mengadakan pelbagai kemudahan awam. Beliau telah membina jalanraya, taliair, empangan seperti empangan Abi Musa dan empangan Amirul Mukminin, jambatan dan rumah-rumah persinggahan untuk pelawat. Beliau juga telah mengadakan perkhidmatan pos dan mengadakan matawang sendiri yang diperbuat daripada logam. Khalifah Umar b. al-Khatab turut membina bandar-bandar tentera (masalih) seperti bandar kufah, Basrah, Damsyik dan Fustat. Bandar-bandar ini dijadikan pusat-pusat penempatan atau kem tentera didirikan bertujuan untuk mengawal sempadan wilayah-wilayah yang ditakluki dari bandar-bandar tersebut. Di tengah bandar-bandar tersebut didirikan pula masjid-masjid sebagai tempat beribadat dan pusat penyatuan masyarakat Islam. Dengan ini, segala usaha pembangunan sosial yang dilakukan oleh Khalifah Umar b. al Khattab adalah untuk kepentingan dan keselesaan rakyat jelata yang sebelum ini belum pernah menikmati kemudahan-kemudahan seperti yang pernah disumbangkan oleh beliau (Husayn 1961 :252-253).


3.1.2 Melakukan polisi baru untuk golongan Dzimmi


Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10 orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basyrah supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan.
Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.


3.1.3 Memperbaharui taraf kedudukan hamba

Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas, mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecualilah bagi orang-orang yang benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka.
Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh Khalifah Umar. Sebagai contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.


3.1.4 Mengalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran


Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.

3.2 Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi

3.2.1 Mengemaskini kadar pemberian al-Ata’


Pada zaman Abu Bakr al-Siddiq, semua orang yang memperoleh elaun daripada kerajaan iaitu al-‘Ata mendapat kadar yang sama. Abu Bakr pernah diberikan cadangan supaya mempelbagaikan jumlah pemberiannya tapi ditolaknya. Kata beliau: “ Mereka berlebih kurang di sisi Allah. Akan tetapi, dalam soal elaun ini elok jika mereka mendapat kadar yang sama”. Dasar ini telah dilanjutkan sehingga akhir zaman pemerintahannya. Pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab, apabila penaklukan Islam menghasilkan harta yang banyak, beliau mengubah kaedah pembahagian elaun dan tidak lagi menurut dasar yang telah dilakukan sebelumnya. Kata beliau: Patut ada perbezaan antara orang yang pernah memerangi Rasulullah s.a.w. dan orang yang pernah berperang dengan baginda”. Orang ramai mesti dikelaskan dalam penerimaan elaun berdasarkan kedudukan mereka berhubung Rasulullah s.a.w. Apa yang dijelaskan, Abu Bakr melihat setiap muslim seperti adik beradik. Mereka perlu mendapat bahagian yang sama daripada pusaka peninggalan bapa yang mereka warisi (al-Nabrawi 1991:96).

Dalam hal ini, perbezaan kedudukan dan komitmen terhadap agama tidak diambil kira. Sementara Umar pula melihat perbezaan itu perlu diambil kira. Beliau menekankan soal senioriti sebagai asas perbezaan. Malah, apa yang dikehendaki oleh Umar ialah persamaan dalam erti kata yang sebenar. Ini kerana, tidak semestinya persamaan tersebut memberi maksud bahawa semua orang perlu mendapat kadar yang sama. Sebaliknya, setiap orang perlu mendapat kadar yang sesuai dengan sumbangannya sendiri. Umar sendiri pernah menegaskan apabila perubahan itu dilakukan oleh beliau katanya: ”Demi Allah, Ibn al-Khattab tidak bermaksud dengan perubahan ini kecuali keadilan dan kesamarataan” (al-Nabrawi 1991:96).

3.2.2 Tidak membahagikan harta rampasan perang ( ghanimah) kepada tentera

Pada zaman pemerintahan Umar b. al-Khattab, wilayah kekuasaan Islam sangat luas meliputi daerah Sham, Persia, Mesir, dan Iraq. Sewaktu negeri-negeri ini ditakluki, tanah pertanian termasuk tanah pertanian di Iraq dapat dikuasai oleh tentera Islam dan menjadi harta rampasan perang. Ketika itulah Umar b. al-Khattab mengirim surat kepada tentera Islam di Iraq mengatakan bahawa beliau tidak akan membahagikan harta rampasan perang khususnya yang tidak bergerak seperti tanah pertanian atau sawah kepada anggota tentera Islam sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. sebelum ini. Umar b. al-Khattab pada dasarnya ingin agar tanah pertanian yang dapat dirampas itu tetap dikerjakan oleh pemilik sebelumnya, kerana mereka dianggap menguasai hal-hal yang berkaitan dengan perlaksanaan dan pengolahan tanah pertanian. Manakala harta rampasan yang bergerak pula , Umar b. al-Khattab melaksanakan hukum seperti amalan yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.aw. sebelum ini iaitu dengan mengambil seperlima daripada harta itu dan membahagikan empat perlima yang lainnya kepada anggota tentera yang terlibat dalam peperangan (Ishak 2000:41).

Kebijaksanaan Umar b. al-Khattab yang tidak mengagihkan harta ghanimah berupa tanah pertanian kepada anggota tentera kaum Muslimin, nampaknya dilatarbelakangi oleh pertimbangan tertentu. Umar b. al-Khattab bermaksud mendahulukan kepentingan umum yang menyeluruh berbanding kepentingan peribadi, suku, atau golongan. Sehubungan dengan ini diterangkan seperti berikut: Keputusan ini didasarkan kepada: Pertama, akan menghalangi perjuangan mereka, kedua, akan memerosotkan kuantiti produk pertanian kerana mereka kurang berpengalaman dalam bidang pertanian, dan ketiga, menyebabkan timbul kasta baru dalam masyarakat, iaitu golongan tuan rumah yang menjalankan praktis monopoli serta akan menjadikan golongan lain menjadi penganggur dan hidup tersisa, dan menghalangi generasi muda, sebagai generasi penerus untuk mendapatkan hak dan mata pencarian mereka (Khalid 1985: 211).

Dilihat dari keterangan ini, kebijaksanaan Khalifah Umar b. al-Khattab untuk tidak mengagihkan tanah pertanian rampasan perang nampaknya mempunyai alasan yang rasional iaitu demi kepentingan masa depan umat Islam yang lebih baik dan lebih banyak. Jika Rasulullah s.a.w. membahagikan kepada orang-orang Muslim harta rampasan perang yang terdiri daripada tanah pertanian pada masa itu sesuai dengan situasi yang ada, khususnya untuk memperbaiki nasib orang-orang miskin Muhajirin dari Mekah yang diusir dari tempat kediaman dan harta kekayaan mereka. Dan jika Umar b. al-Khattab tidak membahagi-bahagikannya, maka itu adalah kerana pertimbangan ekonomi kaum Muslimin di masa akan datang yang juga merupakan kemaslahatan. Selain itu, keadaan tentera di masa Khalifah Umar al-Khattab memerintah baik kedudukannya dibanding dengan tentera pada masa Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakr al-Siddiq. Ini kerana tentera pada masa Umar b. al-khattab telah mendapat gaji tetap tidak seperti pada masa Rasulullah s.a.w dan Abu Bakr al-Siddiq (Ishak 2000: 55).


3.3 Pembaharuan Dalam Bidang Politik dan Pentadbiran

3.3.1 Membentuk Majlis Syura


Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul Rahman b. Auf, Saad b. Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.
Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku kepada dalam semua segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam. Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.


3.3.2 Memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah


Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syria, dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya akan dikenakan cukai.
Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.

3.3.3 Memperluaskan skop pengawasan dan pentadbiran

Khalifah Umar b. al-Khattab memperluas skop pengawasan terhadap pegawai-pegawai kerajaannya. Ini bermakna, pegawai-pegawai zaman Umar b. al-Khattab sentiasa berada di bawah pemerhatian atau pengawasan semua pihak. Khalifah Umar b. al-Khattab memperaktikkan beberapa kaedah bagi menjayakan sistem pengawasan pentadbirannya, antaranya:

i) Memastikan semua gabenor wilayah dan pegawai kanan kerajaan berada di Mekah pada musim haji. Di samping itu, mereka juga diberikan peringatan tentang bahaya rasuah, hadiah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran. Rakyat seluruh negara dimaklumkan terlebih dahulu tentang pehimpunan tersebut. Individu yang bermasalah atau pernah dizalimi oleh pegawai-pegawai berkenaan. Dengan ini, semua pihak perlu berhati-hati dalam setiap tindakan dan perlakuan.

ii) Pegawai-pegawai yang bertugas di luar kawasan ibu negara Madinah tidak dibenarkan masuk ke ibu negara pada waktu malam kerana penyelewangan boleh berlaku pada waktu malam.

iii) Pegawai-pegawai kerajaan diwajibkan untuk membentangkan penyata harta milik mereka ketika mula bertugas, sedang bertugas dan ketika tamat perkhidmatan. Sumber-sumber harta yang bertambah tanpa bukti yang sah akan dirampas.
iv) Khalifah dan pembantu-pembantu menyusun pogram rondaan malam dan siang bagi mendapatkan maklumat yang jelas tentang kehidupan rakyat jelata. Mereka juga berusaha menangani dan menyelesaikannya dengan baik.

v) Bagi wilayah Islam yang berada jauh dari pusat pentadbiran, khalifah menugaskan ramai perisik untuk mendapatkan maklumat tertentu dan melaporkannya kepada ibu negara. Ini sebenarnya merupakan lanjutan polisi yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w dan Khalifah Abu Bakr iaitu memberikan kebebasan bertindak kepada gabenor wilayah dalam urusan yang khusus dan membataskan tindakan kepada urusan yang umum (Mun’im 1974: 148; al-Adawi 1972: 205).

3.3.4 Memperbaharui bidang kehakiman

Pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakr al-Siddiq, beliau akan mencari ayat-ayat al-Quran untuk dijadikan panduan umum. Jika tiada beliau akan mendapatkan hadith atau al-sunnah dengan menanyakan kepada para sahabat terutama yang boleh dipercayai untuk dijadikan landasan hukum. Ini menunjukkan bahawa walaupun Khalifah Abu Bakr merupakan sahabat yang terdekat dengan Rasulullah s.a.w. dan seorang khalifah, ternyata beliau tidak berani melakukan ijtihad sebagaimana yang dilakukan oleh Khalifah Umar b. al-Khattab. Antara ijtihad yang telah dilakukan oleh Umar b. al-Khattab ialah beliau telah menambah jumlah sebatan ke atas peminum arak dari 40 sebatan kepada 80 sebatan. Pada masa Khalifah Umar b. al-Khattab beliau telah mengadakan penyerahan tugas kehakiman daripada khalifah kepada qadi (al-Aqqad 1965: 114-115; Arnus t.th: 11).

Dalam bidang pentadbiran Khalifah Umar b. al-Khattab sentiasa memikirkan kaedah-kaedah yang terbaik serta mampu memberi keadilan kepada semua pihak. Pada masa pemerintahan beliau,banyak wilayah-wilayah baru dibuka dan empayar Islam meluas sehingga ke wilayah Rom dan Parsi. Orang-orang Arab telah bercampur dengan masyarakat bukan Arab dan timbul berbagai masalah baru yang perlu diselesaikan. Khalifah Umar b. al-Khattab merupakan orang yang pertama membuat pembaharuan dalam urusan kehakiman ; beliau melantik qadi sebagai ketua hakim di setiap daerah. Mereka berkuasa penuh terhadap melaksanakan tugas-tugasnya dengan adil tanpa dipengaruhi oleh pemimpin daerah. Dengan kata lain, qadi menjatuh hukuman tanpa memandang status, tidak kira samada seseorang itu berpangkat tinggi atau rendah, kaya atau miskin, bangsawan atau tidak. Umar tidak memberikan jawatan qadi kepada sebarang orang kecuali kepada mereka yang mampu dan cekap dalam bidang kehakiman. Syarat utama yang dijadikan pertimbangan ialah integriti peribadi seperti takwa, warak, adil, di samping kemampuan dan keluasan ilmu pengetahuan dan keterampilan dalam bidang kehakiman (al-Aqqad 1965 : 114-115 ; Hasan 1964 :54-55).


3.3.5 Mengambil bekas golongan Riddah sebagai tentera Islam.


Pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, sebahagian dari wilayah Iraq, khususnya di bahagian selatan telah dikuasai oleh tentera Islam dan panglimanya pada waktu itu ialah Khalid b. al-Walid. Pada zaman Khalifah Abu Bakr al-Siddiq juga, bilangan tentera Islam yang terlibat dalam peperangan pembukaan wilayah tidaklah begitu ramai dan terhad pula kepada golongan yang tidak pernak murtad. Dengan terlantiknya Umar b. al-Khattab sebagai khalifah , beliau telah melantik panglimanya yang baru iaitu Abu ‘Ubayd b. Umar al-Thaqafi untuk meneruskan ekspidisi di Iraq. Peperangan pertama berlaku di Qarqas (al-Jisr) yang dikenali sebagai perang jambatan. Peperangan ini berlaku di sekitar jambatan yang merintangi sungai al-Furat. Sebelum peperangan, berlaku cabar-mencabar antara tentera Islam dn Parsi tentang siapa yang berani menyeberangi terlebih dahulu. Oleh sebab tersalah perhitungan, Abu ‘Ubayd telah memerintahkan tenteranya menyeberangi jambatan tersebut. Justeru itu, tenteranya telah mengalami kekalahan dan Abu ‘Ubayd serta tujuh orang pahlawan daripada suku Thaqif termasuk saudara dan anak Abu ‘Ubayd terkoban. Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke 13H/634M. Dengan kekalahan ini, bilangan tentera Islam mula berkurangan dan ada di kalangan mereka yang mula hilang pedoman. Atas sebab itu, Khalifah Umar b. al-Khattab telah membuat perubahan dasar dengan mengambil bekas golongan al-Riddah sebagai tentera baru Islam bagi menyertai peperangan. Ini adalah memandangkan bekas golongan al-Riddah mempunyai bilangan yang ramai dan untuk memperkukuhkan lagi kedudukan tentera Islam yang bilangannya agak terhad untuk menghadapi pihak musuh. Maka dengan ini, tiada lagi tindakan yang dikategorikan sebagai al-Riddah, diyakini bahawa golongan ini betul-betul menyesal dan mematuhi Ulil al-Amr ( al-Tabari 1879-1901 : 2202-2205).



4. KESIMPULAN


Kesimpulannya, Khalifah Umar b. al-Khattab merupakan khalifah yang sangat mementingkan kemaslahatan rakyat jelata. Pelbagai kemudahan infrastruktur telah disediakan pada zamannya. Sikap keperihatinan yang wujud dalam diri Khalifah Umar b. al-Khattab menjadikan beliau dikagumi oleh rakyat jelata. Selain pembangunan sosial, bidang pendidikan juga amat dititikberatkan oleh beliau pada zamannya khususnya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ilmu agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...