Ikhtilaf pada umat ini sudah terjadi sejak
zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. namun dari aspek politik
kepartian sejarah panjang ikhtilaf yang terjadi pada umat ini bermula pada
generasi sahabat setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. Fitnah yang dilakukan oleh
Abdullah bin Saba’ sejak khalifah Usman bin Affan r.a. telah menyebabkan
terbunuhnya Usman r.a. dan melahirkan fitnah pada zaman Ali r.a dan terjadinya
percanggahan politik yang berterusan dalam umat ini dengan ditandai kemunculan
Syiah dan Khawarij.
Perbalahan
yang ada pada golongan ini pada asasnya bersifat politik, hanya sahaja politik
dalam Islam tidak dapat dinafikan hubungannya dengan Islam itu sendiri oleh
kerana mazhab politik sentiasa berasaskan agama. Ada ketikanya politik begitu
dekat dengan Islam dan pada masa lain ia begitu jauh dengan Islam bahkan
sehingga terkeluar dari prinsip-prinsip Islam.
Golongan-golongan
ini juga mempunyai pandangan mengenai Iman dan keyakinan. Bukan sahaja pada
perkara-perkara asas bahkan termasuk perkara-perkara furu’. Maka kita dapati
Syiah dari aspek furu’ mempunyai al-fiqh al-Ja’fari, Khawarij fiqh al-ibadiah,
dan ahli Sunnah sendiri disamping mempunyai pandangan dalam perkara keimanan
dan juga mempunyai pandangan dalam aspek furu’ yang sekarang lebih dikenali
dengan fiqh empat mazhab.
Mazhab fiqhiyyah pada asasnya merupakan
aliran-aliran fiqhiyyah yang diasaskan oleh imam-imam mujtahidin yang
bertebaran di negeri-negeri Islam ketika itu, seperti di Iraq, Hijaz, Syam,
manakala Syiah juga mempunyai aliran fiqhiyyah tersendiri. Para imam ini
berijtihad dan mengambil istinbat hukum daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah
s.a.w. kemudian diikuti oleh para pengikut mereka yang menghadkan ijtihad pada
mazhab masing-masing dan membatasi diri pada pandangan mazhab, kemudian
lahirlah generasi yang jumud dan tidak berani keluar dari pandangan mazhab
sendiri.
Read More...
Read More...
SEJARAH KELAHIRAN
IKHTILAF
1.1 Ikhtilaf
Pada Zaman Rasulullah s.a.w.
Memandangkan ikhtilaf adalah suatu perkara
yang wajar terjadi, keberadaan Rasulullah s.a.w. tidak menutup pintu terjadinya
ikhtilaf para sahabat r.a.. Hanya sahaja terjadi ikhtilaf dalam satu perkara
mereka segera merujuk kepada Rasulullah s.a.w. untuk mendapatkan jawapan yang
benar dari masalah yang dihadapi.
Adapun
sahabat yang jauh daripada Rasulullah s.a.w. tidak dapat merujukkan masalah
kepada Rasulullah s.a.w. seperti ikhtilaf mereka dalam mentafsirkan ayat atau
sunnah s.a.w. serta aplikasi dari hadis terhadap masalah yang wujud. Apabila
telah kembali ke Madinah, mereka akan membentangkan masalah yang
diperselisihkan kepada Rasulullah s.a.w. sama ada Rasulullah s.a.w. atau
menjelaskan yang benar dari apa yang mereka perselisihkan sehingga mereka dapat
menyelesaikan masalah dengan tenang.
Beberapa contoh ikhtilaf yang terjadi pada
zaman Rasulullah s.a.w. dapat dijadikan sebagai bukti bahawa ikhtilaf sudah
terjadi sejak zaman Rasulullah s.a.w. dan pada waktu yang sama juga dapat
difahami bagaimana Rasulullah s.a.w. menyelesaikan ikhtilaf para sahabat.
Beberapa contoh ikhtilaf di zaman Rasulullah s.a.w. seperti berikut:
1.1.1 Ikhtilaf
Sahabat Pada Peristiwa Bani Quraizah.
Para Sahabat r.a. telah berbeza pendapat dalam
memahami perintah Rasulullah s.a.w. agar tidak menunaikan solat Asar kecuali di
Bani Quraizah, setengah daripada mereka faham bahawa maksud nabi ialah agar mempercepatkan perjalanan hingga
dapat menunaikan solat Asar di Bani Quraizah. Justeru apabila kita tidak sempat
sampai ke sana dalam waktu Asar, maka solat Asar perlu didirikan terlebih
dahulu, sementara yang lain memahami bahawa perintah itu bersifat mutlak
sehingga mereka tidak melaksanakan solat Asar meskipun waktunya telah berlalu
kecuali setelah mereka tiba di Bani Quraizah.
Dalam
hal ini, para sahabat telah betijtihad, dan apabila peristiwa tersebut sampai
kepada Rasulullah s.a.w., baginda tidak menyalahkan mana-mana pihak yang
berikhtilaf. Hal ini bermakna bahawa kedua-dua sikap ini tidak bercanggah
dengan syarak.
1.1.2 Ikhtilaf
terhadap tawanan perang Badar
Jauh sebelum peristiwa perbezaan pendapat pada
Bani Quraizah, telah terjadi perbezaan antara para sahabat r.a ketika
menghadapi tawanan perang Badar. Setidaknya ada dua pandangan yang kuat ketika
itu sebagaimana yang telah disebut oleh Ibnu Kathir, “Faslun waqad ikhtalafa
al-sahabat fi usara Badr ayuqtalun aw yufadun”? ‘ala qaulain’ telah
berbeza pendapat para sahabat mengenai tawanan perang Badar apakah mereka
dibunuh atau diwajibkan membayar fidyah.
Pendapat yang pertama diwakili oleh Abu Bakar
r.a. iaitu meminta tebusan, dengan pertimbangan bahawa ianya boleh menjadi
tambahan kekuatan bagi umat Islam, di samping banyak di antara mereka juga
kerabat-kerabat para sahabat Rasulullah s.a.w. sementara Umar r.a. mewakili
pandangan yang kedua, agar tawanan dibunuh sehingga Allah mengetahui bahawa
tidak ada sedikitpun perasaan kasihan ke atas mereka, padahal ketika itu mereka
adalah para pemuka dan pimpinan mereka
Ikhtilaf ini merupakan perbezaan pada waktu
yang sangat kritis, dan pada masalah yang sangat besar, namun Rasulullah s.a.w.
telah menerima perbezaan ini tanpa mengaibkan pandangaan kedua-dua pihak.
Rasulullah s.a.w. tidak memaksa Umar untuk menerima pendapat Abu Bakar r.a.
sebagaimana Umar r.a. juga tidak menunjukkan sikap membangkang ketika
Rasulullah s.a.w. mengambil pendapat Abu Bakar r.a.
1.1.3 Ikhtilaf
sebelum keberangkatan ke Uhud
Para sahabat juga telah berbeza pendapat
ketika akan menentukan tempat untuk menyambut pasukan Quraysh, di antara para
sahabat r.a. ada yang menghendaki agar menyambut musuh dalam kota Madinah,
termasuk yang tidak bertolak ansur dengan cadangan ini adalah ‘Abdullah bin
Ubay bin Salul yang kemudian ia jadikan sebagai hujjah pembangkangannya untuk
kembali, meninggalkan perang uhud, sementara para sahabat yang tidak menyertai
perang Badar menghendaki agar menyambut musuh di luar bandar Madinah. Akhirnya
Rasulullah s.a.w. memutuskan untuk menyambut musuh di luar bandar Madinah.
Para sahabat yang menghendaki agar umat Islam
menjadikan kota Madinah sebagai tempat menyambut pasukan musuh tidak bertaksub
dengan cadangan dan pandangan mereka, akan tetapi mereka terus melakukan apa
yang menjadi keputusan dari baginda s.a.w. sementara orang-orang munafik yang
sememangnya selalu mencari helah telah menunjukkan sikap membangkang terhadap
apa yang telah menjadi keputusan baginda s.a.w.
1.2 Ikhtilaf
pada zaman Khulafa al-Rashidun
Kalau saja keberadaan Rasulullah s.a.w.
bersama mereka tidak menutup pintu ikhtilaf di antara para sahabat maka ketidak
beradaan Rasulullah bersama mereka lebih memungkinkan lagi untuk terjadi
ikhtilaf antara para sahabat, dan sememangnya para sahabat telah berbeza
pendapat satu sama lain dalam banyak masalah, namun tidak menyebabkan mereka
saling membenci di antara mereka. Di antara ikhtilaf mereka ialah:
1.2.1 Ikhtilaf
Sahabat ketika Rasulullah s.a.w. meninggal dunia
Meninggalnya Rasulullah s.a.w. merupakan
peristiwa yang sangat menggemparkan yang telah melahirkan berbagai-bagai sikap
dari para sahabat. Umar bin Khattab dalam hal ini bukan sahaja mengira bahawa
Rasulullah s.a.w. tidak meninggal dunia bahkan mengancam orang-orang yang
menganggap Rasulullah s.a.w. telah meninggal dengan pedang, lebih daripada itu
Umar telah menganggap orang-orang yang mengatakan Muhammad telah meninggal
sebagai munafiq. “Sesungguhnya ada orang-orang munafik yang menganggap
Rasulullah s.a.w. telah meninggal dunia”.
Umar r.a. berbeza pendapat dengan para
sahabat, namun setelah Abu Bakar r.a. membacakan ayat yang bermaksud “ Dan
tidaklah Muhammad melainkan seorang Rasul, telah berlalu sebelumnya para Rasul,
adakah jikalau ia meninggal dunia kamu sekalian kembali lagi kepada keadaan
sebelum Islam? Maka sesiapa yang berpaling maka ianya tidak merbahaya sedikit
pun bagi Allah dan Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang
bersyukur”, Umar terus menarik pandangannya dan menyedari hakikat kematian
Rasulullah s.a.w. dan Umar berkata tentang ayat yang dibaca oleh Abu Bakar :
“ Demi Allah seakan saya belum pernah
membacanya sama sekali”.
Ibnu
Abbas meriwayatkan dari Umar r.a. bahawasanya beliau berkata kepadanya pada
masa ia menjadi khalifah: Wahai Ibnu Abbas, adakah engkau mengetahui apa yang
menyebabkan saya mengucapkan perkataan saya ketika Rasulullah s.a.w. meninggal
dunia? Saya berkata: Demi Allah saya tidak mengetahuinya, anda lebih tahu
tentang itu. Berkata Umar: “Sesungguhnya demi Allah tidaklah yang membawa saya
mengucapkan itu kecuali saya membaca ayat, bermaksud:
“Dan demikianlah kami telah menjadikan kamu
sekalian ummatan wasaton (umat yang pertengahan) agar kamu sekalian menjadi
saksi keatas manusia dan Rasulullah s.a.w akan menjadi saksi keatas kalian”.
Demi
Allah saya menganggap bahawa Rasulullah s.a.w. akan kekal bersama ummatnya
sehingga menyaksikan akhir perbuatan daripada ummatnya, dan itulah yang membawa
saya mengucapkan apa yang saya ucapkan”.
Taha
Jabir menulis komen tentang ucapan Umar r.a. dengan mengatakan: “Seakan-akan
Umar r.a. telah berijtihad dalam makna ayat dan memahami bahawa maksud
daripadanya adalah kesaksian di dunia yang
mewajibkan Rasulullah s.a.w. kekal di dunia sehingga hari kiamat”.
1.2.2 Ikhtilaf
para sahabat tentang perlantikan khalifah setelah kewafatan Rasulullah
Selepas Rasulullah s.a.w meninggal dunia, para
sahabat berselisih pendapat mengenai perlantikan khalifah atau ketua negara
Islam. Para sahabat mempunyai tiga pendapat iaitu:
Pendapat Pertama; Mereka berpendapat khalifah itu dipilih dan
dipersetujui oleh rakyat tanpa mengira sama ada kabilah itu berpengaruh ataupun
tidak. Pendapat ini dikeluarkan oleh majoriti kaum Ansar. Mereka mencadangkan
pemimpin kaum Khazraj, Saad bin Ubadah dilantik sebagai pemimpin umat Islam.
Mereka berhujah dengan kelebihan Ansar sebagai pengikut, sahabat dan pembantu
setia Nabi Muhammad. Terdapat beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang menyanjung
mereka. Dengan hadis-hadis itu, mereka berhujah:
“Dengar dan taatlah walaupun yang menjadi
ketua kamu itu seorang hamba Habsyi”.
Pendapat Kedua; Mereka yang berpendapat pemimpin itu dipilih
daripada keluarga Rasulullah s.a.w. Pendapat ini dikemukakan oleh beberapa
orang dalam kalangan masyarakat yang berketurunan Bani Hasyim, keluarga
Rasulullah s.aw. dan masyarakat yang sependapat dengan mereka. Mereka berhujah
kedudukan keluarga Rasulullah s.a.w. yang lebih dekat dengan beliau. Mereka
mencadangkan Ali bin Abu Thalib sebagai pemimpin. Hujah mereka berdasarkan
hadis Rasulullah s.a.w. yang berkata kepada Ali:
“Adakah kamu tidak redha dengan kedudukan kamu
disisiku sama seperti kedudukan Harun dan Musa hanya kerana tidak ada Nabi lagi
selepasku”.
Pendapat Ketiga; Mereka yang berpendapat khalifah itu dipilih
oleh umat Islam dan mesti daripada kalangan kaum Quraisy. Mereka menganggap
Quraisy adalah kabilah yang paling berpengaruh. Mereka berhujah dari hadis
Rasulullah s.a.w:
“Imam-imam (pemimpin-pemimpin) itu mestilah
daripada kalangan Quraisy”
Akhirnya, pendapat ketiga disokong oleh
majoriti umat Islam. Semua umat Islam termasuk penyokong Ansar, ahli keluarga
Rasulullah s.a.w. melantik Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah. Abu Bakar
as-Siddiq menjadi ketua umat Islam selepas Rasulullah s.a.w. meninggal dunia.
Abu Bakar tidak meminta jawatan yang besar ini. Oleh kerana beliau paling layak
dan menepati kriteria yang ditetapkan, rakyat memilih beliau bagi menerima
tanggungjawab ini. Para sahabat juga tidak dipaksa bagi melantik Abu Bakar.
Mereka menyedari amanah pemimpin adalah besar. Berdasarkan hujah yang dikemukan
oleh golongan Muhajirin, mereka melantik Abu Bakar.
Namun, perselisihan pendapat serta
hujah-hujahnya dicemari oleh anasir-anasir kotor pada zaman selepasnya.
Kemunculan Khawarij berhujah supaya memilih ketua secara bebas tanpa mengira
pengaruh kabilah yang kuat. Aliran Syiah menetapkan Ali bin Abu Thalib dan
keturunannya sahaja yang layak menjadi khalifah. Golongan Murji’ah sebulat
suara berpendapat, kononnya menyerah urusan kepada Allah. Akhirnya
pertelingkahan dalam politik melarat sehingga melibatkan perkara-perkara akidah
kerana ingin meraih kemenangan. Keghairahan ini membuka ruang kepada
anasir-anasir luar bagi merosakkan Islam.
1.2.3 Ikhtilaf Para Sahabat Dalam Memerangi
Orang Murtad dan Orang Yang Tidak Mengeluarkan Zakat.
Masalah orang-orang murtad dan orang yang
tidak mengeluarkan zakat adalah di antara masalah besar yang dihadapi oleh para
sahabat, dan mereka dapat mengatasi menyelesaikan ikhtilaf yang terjadi di
antara mereka dalam perkara ini dengan ketulusan niat dan adab yang baik di
antara mereka.
Ketika
Umar berada di Bani Saqifah kemudian diminta oleh Abu Bakar untuk dibai’at,
Umar telah berkata: “lebih ringan bagi saya untuk maju ke hadapan kemudian
dipotong leherku daripada menjadi amir (pemimpin) di dalamnya ada Abu Bakar.
Namun ketika menghadapi masalah orang-orang murtad dan orang-orang yang tidak
mengeluarkan zakat Umar yang paling kuat menentang pandangan Abu Bakar, Umar
r.a berkata: “bagaimana kita memerangi kaum yang telah bersaksi bahawa tiada
Tuhan melainkan Allah dan Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “sesiapa yang
mengucapkannya (la ilaha illa Allah) maka telah terpelihara olehku darah dan
hartanya dan Allahlah yang akan menghisabnya. Lantas Abu Bakar r.a menjawab:
“Demi Allah, aku akan terus memerangi orang
yang memisahkan di antara sembahyang dengan zakat kerana zakat adalah kewajipan
terhadap harta. Demi Allah, seandainya mereka tetap enggan membayar walaupun
seekor anak kambing betina yang belum sampai umurnya satu tahun sedangkan
mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, aku tetap akan memerangi
mereka kerananya”.
Ketika
Abu Bakar menjelaskan hujjah-hujjahnya akhirnya Umar termasuk orang yang
pertama menyokong untuk memerangi orang-orang murtad dan orang-orang yang tidak
mengeluarkan zakat.
Keagungan
dan ketinggian penghormatan Umar terhadap Abu Bakar tidak menghalang beliau
untuk menentang apa-apa masalah yang dianggap tidak tepat menurut ijtihadnya.
Itulah
beberapa contoh dari ikhtilaf yang terjadi di antara para sahabat, betapapun
kuatnya perbezaan yang terjadi di antara mereka tidak menghalang mereka untuk
tetap saling mencintai.
1.3 Ikhtilaf Pada Zaman Moden
Dalam memahami kondisi ikhtilaf di zaman moden, memahami dua perkara
penting dibawah ini merupakan perkara yang mustahak. Dua perkara tersebut
adalah:
1.3.1 Ikhtilaf Mazhab
Ikhtilaf merupakan sunnatullah yang akan terus terjadi sejalan dengan
permasalahan-permasalahan baru yang dihadapi oleh umat manusia sejak
ditinggalkan oleh Rasul dan para sahabatnya. Perbezaan tafsiran terhadap suatu
masalah telah menyebabkan lahirnya pelbagai pandangan dan mazhab Feqah yang
masih diamalkan di zaman moden kini. Secara umumnya, aliran Ahli Sunnah
menerima perbezaan pandangan ini secara positif dengan memperakui ijtihad
keempat-empat mazhab besarnya iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hambali.
Para imam mazhab feqah
yang empat yang menjadi ikutan oleh kebanyakan umat Islam diseluruh dunia telah
berikhtilaf antara sesama mereka dalam banyak perkara, namun dalam berbeza
pendapat mereka tetap menjaga adab-adab Islami. Mereka tetap menerima ijtihad-ijtihad
daripada ulama lainnya yang mempunyai kebolehan dan kepakaran dalam berijtihad,
mendoakan pengampunan bagi orang-orang yang salah, berbaik sangka, menerima
ketentuan hukum walaupun dari mazhab lain, menghukumi sesuatu perkara dengan
pendapat dari mazhab lain pada keadaan-keadaan tertentu dengan hati terbuka.
Imam Ahmad sebagai contoh,
berpendapat bahawa hijamah membatalkan wuduk, ketika ditanya adakah beliau akan
solat dibelakang imam dari salah satu anggota badannya mengeluarkan darah,
beliau menjawab: bagaimana saya tidak solat di belakang imam Malik dan Sa’id
ibnu al-Musayyib.
Imam syafi’i ketika solat
di tempat yang berdekatan dengan kubur Imam Abu Hanifah tidak membaca qunut
padahal qunut dalam pandangan beliau hukumnya sunat mu’akkad, ketika perkara
ini ditanyakan beliau menjawab: ”apakah saya akan melakukan perkara yang
berbeza dengan pandangan imam Abu Hanifah padahal saya berada ditempatnya”.
Imam Malik ketika menyelesaikan al-Muwatta’ kitab hadis dan feqah yang
diperakui oleh tujuh puluh orang ulama Hijaz pada zamannya, ketika khalifah
Mansur mengkehendaki agar Muwatta’ diperbanyak dan disebarkan kepada seluruh
negeri untuk dijadikan sebagai mazhab oleh seluruh negeri dan juga agar dapat
menghilangkan ikhtilaf pada masyarakat Imam Malik merupakan orang yang pertama
menolak pandangan tersebut dan berkata:
“Ya Amiru al-Mu’minin
! jaganlah melakukan perkara ini, dalam masyarakat telah tersebar pendapat dan
pandangan lain, mereka telah mendengar hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan telah
meriwayatkannya, setiap kaum mengambil pendapat yang telah mereka dapatkan dari
para ulama, mereka juga telah mewarisi ikhtilaf yang terjadi pada umat, biarlah
setiap mereka mengambil pendapat masing-masing...”, berkata khalifah: “semoga Allah memberi
taufik kepadamu wahai hamba Allah”.
Bagaimanapun tradisi
ikhtilaf penuh adab yang dipraktikkan oleh para imam mazhab tidak dicontohi
oleh pengikut-pengikut mazhab tersebut. Keterbukaan para imam terhadap ijtihad
dan pendapat lain, kebiasaan saling mendoakan di antara mereka, memohonkan
keampunan untuk saudara-saudara mereka yang salah dalam ijtihad oleh para
pengikutnya tidak lagi dipraktikkan, bahkan yang terjadi setiap jamaah dari
mazhab yang ada mendakwa bahawa mereka adalah yang paling benar dalam
menjalankan kehidupan Islami.
Keadaan ini kemudian
berkembang menjadi perbalahan mazhab yang telah menghabiskan banyak potensi
umat dalam perkara-perkara yang tidak membawa keuntungan, menyebabkan wujudnya
perkara-perkara negatif dalam thaqafah dan keadaan sosial masyarakat, taqliq
dan jumud semakin mendapat tempat bahkan umat berpecah-pecah kepada
kumpulan-kumpulan yang saling membenci sesama sendiri sehingga
permasalah-permasalahan besar umat tidak menjadi perhatian utama.
Belum berjaya umat ini
menghilangkan penyakit perbalahan sesama sendiri kerana berbeza mazhab, kini
umat dihadapkan dengan ikhtilaf yang disebabkan taksub terhadap kumpulan
masing-masing baik peringkat nasional mahupun peringkat antarabangsa.
1.3.2 Ikhtilaf
Jamaa’ah
Satu realiti yang tidak dapat dinafikan bahawa
sesiapa sahaja yang memerhatikan keadaaan umat Islam di seluruh dunia akan
mengetahui umat ini tidak memiliki satu kesatuan umat atau dalam bahasa yang
lebih popular satu jama’at dalam makna yang sebenar. Adapun dari aspek
maknawi, iaitu aspek mengikuti manhaj Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya,
makna jama’at akan terus kekal selama masih ada seorang muslim yang menyembah
Allah di bumi.( Abdul Hamid.1996 : 101 )
Oleh yang demikian, semua jama’at yang
wujud sekarang ini, selain jama’at syaz yang terkeluar dari
prinsip-prinsip ahli sunnah waljama’ah tidak dapat
dikeluarkan dari kategori jama’at Islam dari aspek maknawi dan pada masa
yang sama, semua jama’at yang wujud tidak boleh mendakwa bahawa jama’ah
mereka merupakan jama’at Islamiat secara fizikal sehingga
mewajibkan semua umat Islam masuk ke dalam jama’at mereka.( Abdul
Hamid.1996 : 117 )
Kepelbagaian jama’at yang berjuang menyebarkan
dakwah Islamiah tidak ditegah oleh Islam sekiranya perbezaaan yang wujud
bersifat variative( ta’addud tanawu’ ) bukan bersifat contradictive
( ta’addud ta’arud ). Kemudian terjadi kerjasama yang baik di
antara mereka, saling melengkapi dan berdiri satu saf dalam menghadapi segala
permasalahan bersama.( Yusuf al-Qardhawi.1994 : 6 )
Memerhatikan pergerakan-pergerakan dakwah yang
juga sering disebut sebagai jama’at min jama’at al-muslimin
sekarang ini baik yang bersifat nasional atau internasional kita akan
mengetahui persamaan matlamat ( ghayah ) i’la’an likalimatillah,
bahawa semuanya bergerak untuk membangkitkan seluruh umat Islam baik dari aspek
fikri atau ‘amali.( Muhammad Salim.1989 : 384 )
Ikhtilaf yang terjadi di antara jama’at
atau pergerakan yang ada hanya pada aspek-aspek metod atau sering dikenal
dengan wasilat al-dakwat, perbezaan dalam menentukan awlawiyyat
al-dakwat, perbezaan penentuan maslahat yang kesemuanya bersifat furu’.
Ada yang memberi tumpuan kepada aspek tarbawi,
sebahagian yang lain memberi penekanan kepada aspek politik, ada yang memberi
tumpuan kepada aspek aqidah sahaja, ada yang memberi tumpuan kepada amar ma’ruf
dan meninggalkan nahi mungkar. Ada juga yang memberi perhatian kepada zikir,
wirid dan tidak memberi perhatian kepada usaha-usaha perbaikan masyarakat.
Perbezaan-perbezaan ini semestinya memperkaya khazanah Islamiah.(
Muhammad al-Wakili.1997 : 2 )
Apa yang menyedihkan, dari kebanyakkan
pergerakan dakwah ketika ini, ia melahirkan individu-individu yang memiliki
sifat-sifat yang tidak baik seperti:
i. Menyombong diri
Sikap negatif ini menimpa sebahagian individu
yang aktif dalam pergerakan dakwah. Mereka merasa lebih dari orang-orang yang
tidak mengikuti pergerakan tersebut, sehingga memandang rendah kepada
orang-orang yang tidak ikut bersama mereka.
Perasaan
dan sikap merasa lebih merupakan kemaksiatan yang pertama dilakukan oleh
makhluk Allah seperti dalam firman Allah s.w.t. bermaksud:
Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk
bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" menjawab Iblis "Saya
lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang
dia Engkau ciptakan dari tanah". (
Surah al-A’raf : 12 )
ii. Penyempitan Makna Ukhuwah
Bukannya sedikit dari orang-orang yang aktif
dalam pergerakan dakwah yang tidak mendapat pendedahan yang syamil kepada Islam
terjebak dengan salah satu sikap tidak terpuji ini, sehingga mereka merasa
tidak perlu membantu umat Islam yang lain di luar kumpulan mereka ketika orang
tersebut ditimpa musibah. Bahkan, ada juga yang merasa bangga apabila
orang-orang yang berada di luar pergerakannya tidak mencapai apa-apa yang
menjadi matlamat mereka.
Hal
ini sangat bercanggahan dengan apa yang dianjurkan oleh Allah dan apa yang
sentiasa ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaiman firman Allah s.w.t. dalam
al-Quran
Orang-orang beriman itu Sesungguhnya
bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu
itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
( Surah al-Hujurat : 10 )
iii.
Tergesa-gesa Dalam Mencapai Matlamat
Di antara perkara yang terjadi pada
individu-individu yang aktif dalam beberapa pergerakan, terkena penyakit isti’jal
iaitu tergesa-gesa dalam usaha mencapai matlamat. Perjuangan Islam yang
menuntut kesabaran tidak dapat disikapi dengan hikmah, apalagi dengan
perkembangan permasalahan yang terus meningkat mengikut perjalanan waktu.
Padahal,
salah satu perkara penting dalam Islam adalah al-tadarruj ( bertahap )
dan memerhatikan waqi’, fakta yang ada pada masyarakat. Dalam masalah
pengharaman khamar misalnya, ada tiga tahap yang dilalui sehingga
pengharamannya. Ketika Abdul Malik anak dari Umar bin Abdul Aziz menghendaki
agar menghancurkan kezaliman dan kerosakan dalam satu waktu tanpa perancangan
yang jelas, Umar bin Abdul Aziz menyatakan:
“ Janganlah tergesa-gesa wahai anakku.
Sesungguhnya Allah telah mencela khamar sebanyak dua kali dalam al-Quran dan
mengharamkannya pada tahap yang ketiga, dan sesungguhnya saya takut memutuskan
hukum kepada masyarakat secara serentak sehingga mereka menolaknya secara
serentak dan menjadi fitnah ”.
Secara kesimpulannya, Ikhtilaf dalam perkara cabang syariat tidak
wajar menimbulkan kebencian dan pulau memulau sesama umat Islam. Kerana ia
telah wujud di kalangan umat Islam semenjak zaman Rasulullah s.a.w. lagi, namun
tidak pernah memecahbelahkan perpaduan umat Islam di zaman itu. Bermakna ia
juga tidak wajar menjadi sumber perpecahan di zaman kita ini. Umat Islam di zaman
dahulu bukan sahaja berbeza pendapat di dalam beberapa isu, malah juga pernah
berperang antara satu sama lain dan mengekalkan perpaduan ummah, lebih-lebih
lagi di dalam menghadapi serangan musuh daripada luar.
Dalam aplikasi yang dapat dilihat jelas dari
apa yang dipraktikkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. ketika terjadi
ikhtilaf didapati bahawa mereka sentiasa berpandukan kepada adab-adab yang
difahami dari al-Quran dan ketentuan Rasulullah s.a.w. selalu mementingkan apa
yang mewujudkan persatuan, selalu bermusyawarah dalam menghadapi setiap
perkara, saling menasihati antara sesama mereka, memberikan kritik (amar ma’ruf
dan nahi mungkar) terhadap siapa saja yang dianggap melakukan perkara yang
dilarang oleh agama, menghindari perkara yang akan menyebabkan perpecahan,
tidak bertaksub dengan pendapat sendiri, tetap menjaga ukhwah Islamiyyah dalam
berikhtilaf, dan mewujudkan rasa saling mencintai walaupun terjadi perbezaan
pandangan mengenai suatu perkara...Wallahu 'allam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan