Ayat al-Quran

Rabu, 20 Januari 2010

USLUB TARHIB DALAM DAKWAH

Pengertian Tarhib


Tarhib ialah perkara yang boleh menimbulkan ketakutan kepada sasaran dakwah jika mereka tidak menerima atau tidak berpegang teguh dengan kebenaran. Ini jelas menunjukkan bahawa kaedah ini amat penting untuk dilaksanakan dan tidak boleh diketepikan oleh pendakwah. Kesannya, ia akan segera berbuat baik kerana takut akan akibat buruk oleh sebab perbuatan kelalaiannya.


Tujuan Tarhib

Tujuan tarhib ialah untuk menakutkan manusia tentang kemurkaan Allah S.W.T. serta azab pada hari akhirat. Uslub ini juga digunakan oleh Rasulullah s.a.w. seperti diterangkan di dalam al-Quran dan hadis.

Firman Allah S.W.T. :

Maksudnya :

Tidakkah kamu suka kedatangan peringatan dari Tuhanmu, dengan perantaraan seorang laki-laki dari kaummu, supaya ia memberi ketakutan kepada kamu, boleh kamu bersifat ngeri kepadanya? Mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.

Surah al-A’raf (7): 63


Disamping itu, tujuan tarhib adalah untuk menakutkan dengan azab pedih, dan kemungkinan mereka akan hidup terseksa dan sengsara di dunia ini jika mereka menolaknya.


Kepentingan Uslub Tarhib

Pada dasarnya, pendakwah menggalakkan manusia supaya mereka memperolehi keredaan Allah S.W.T serta rahmat dan ganjaran yang melimpah ruah di akhirat. Dalam masa yang sama memberi amaran supaya mereka menjauhkan diri daripada kemurkaan dan azab Allah S.W.T sepertimana yang diceritakan oleh Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Walaupun pada dasarnya, ganjaran atau hukuman yang bakal diperolehi adalah di akhirat namun mereka juga boleh dijanjikan dengan kesenangan dunia jika mereka bersedia menerima dakwah ini atau mereka dijanjikan kecelakaan dunia jika mereka menolak dakwah ini. Walaubagaimanapun pendakwah tidak boleh melupakan ganjaran dan hukuman di akhirat.


Kaedah Perlaksanaan

Salah satu cara untuk memberikan galakan atau amaran ialah dengan mengingatkan mereka tentang nikmat yang sedang mereka nikmati. Sepatutnya segala nikmat ini akan mendorong mereka untuk mentaati Allah S.W.T iaitu Tuhan yang mengurniakan mereka segala nikmat ini. Dalam masa yang sama berikan mereka amaran bahawa segala nikmat ini akan dirampas jika mereka tidak menerima atau jika mereka mengkufuri Allah S.W.T. Ketiadaan nikmat ini bererti mereka akan menerima kesengsaraan.

Tambahan lagi, cara untuk menakutkan orang lain ialah seseorang pendakwah itu menerangkan mudarat maksiat yang menimpa ke atas diri orang yang melakukannya, keluarganya dan kedudukannya. Hal yang demikian menyebabkan seseorang itu akan berasa takut melakukan maksiat, takut kepada kecelakaan dan bala yang mungkin menimpanya.

Selain itu, untuk menambahkan kesan penyampaian, perkara-perkara di atas hendaklah disampaikan dengan nada suara yang sesuai, mempelbagaikan nada dan tekanan suara. Bahkan ia dapat sampaikan dengan nada suara yang bersifat emosional, hiba, bersemangat, mengembirakan, menakutkan dan sebagainya. Adapun, yang amat perlu diutamakan ialah tekanan dan nada suara hendaklah sesuai dengan masalah yang sedang dihuraikan.


Keberkesanan dakwah ialah dapat menarik perhatian para mad’u dengan menggunakan nada suara yang tegang, jika menggunakan nada suara yang sama sahaja dari bermulanya penyampaian mesej sehinggalah penutup dapat membosankan mad’u.

Penggunaan ancaman dalam hukuman berat juga merupakan salah satu bentuk ancaman kepada mad’u untuk membuatkan mereka merasa takut untuk tidak melakukan perkara-perkara mungkar. Tetapi ia tidak boleh jauh daripada beberapa syarat dan batasan-batasan syariat atau dasar-dasar yang telah digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...