Ikhtilaf pada umat ini sudah terjadi sejak
zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. namun dari aspek politik
kepartian sejarah panjang ikhtilaf yang terjadi pada umat ini bermula pada
generasi sahabat setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. Fitnah yang dilakukan oleh
Abdullah bin Saba’ sejak khalifah Usman bin Affan r.a. telah menyebabkan
terbunuhnya Usman r.a. dan melahirkan fitnah pada zaman Ali r.a dan terjadinya
percanggahan politik yang berterusan dalam umat ini dengan ditandai kemunculan
Syiah dan Khawarij.
Perbalahan
yang ada pada golongan ini pada asasnya bersifat politik, hanya sahaja politik
dalam Islam tidak dapat dinafikan hubungannya dengan Islam itu sendiri oleh
kerana mazhab politik sentiasa berasaskan agama. Ada ketikanya politik begitu
dekat dengan Islam dan pada masa lain ia begitu jauh dengan Islam bahkan
sehingga terkeluar dari prinsip-prinsip Islam.
Golongan-golongan
ini juga mempunyai pandangan mengenai Iman dan keyakinan. Bukan sahaja pada
perkara-perkara asas bahkan termasuk perkara-perkara furu’. Maka kita dapati
Syiah dari aspek furu’ mempunyai al-fiqh al-Ja’fari, Khawarij fiqh al-ibadiah,
dan ahli Sunnah sendiri disamping mempunyai pandangan dalam perkara keimanan
dan juga mempunyai pandangan dalam aspek furu’ yang sekarang lebih dikenali
dengan fiqh empat mazhab.
Mazhab fiqhiyyah pada asasnya merupakan
aliran-aliran fiqhiyyah yang diasaskan oleh imam-imam mujtahidin yang
bertebaran di negeri-negeri Islam ketika itu, seperti di Iraq, Hijaz, Syam,
manakala Syiah juga mempunyai aliran fiqhiyyah tersendiri. Para imam ini
berijtihad dan mengambil istinbat hukum daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah
s.a.w. kemudian diikuti oleh para pengikut mereka yang menghadkan ijtihad pada
mazhab masing-masing dan membatasi diri pada pandangan mazhab, kemudian
lahirlah generasi yang jumud dan tidak berani keluar dari pandangan mazhab
sendiri.